Jaga diri daripada api neraka meskipun dengan sedikit daripada harta, akhlak yang baik

 
Bercakap lurus berkata benar
Muka jernih hati pun bersih
Adab halus pantang mengasar
Pantang sekali mencari selisih

Adab, perkataan asalnya daripada Arab bermaksud budi pekerti yang halus, tingkah laku yang baik ataupun budi bahasa. Bagi masyarakat Timur, adab sangat diberi perhatian.

Orang yang memandang remeh aspek ini dan tidak menghiaskan diri dengannya dipanggil kurang adab, tidak beradab atau biadab.

Islam menganjurkan manusia supaya beradab, tidak hanya membabitkan beberapa perkara malahan meliputi setiap segi, seperti dalam percakapan dan makan minum, pembelajaran dan pekerjaan seharian.

Ada banyak keterangan menjelaskan hal ini, antaranya nas bermaksud: “Dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.” (Al-Hijr, 88)

Daripada Adi bin Hatim RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Takutlah kalian terhadap api neraka meskipun hanya dengan (bersedekah) separuh biji kurma. Dan jika dia tidak mendapatkannya, maka dengan kalimat yang baik.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Menurut keterangan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya, yakni lakukanlah apa saja yang dapat menjaga diri kalian daripada api neraka meskipun sedikit daripada harta atau akhlak (budi pekerti) yang baik.

Dalam soal makan minum misalnya, antara adab ditekankan ialah:

1. Menyebut nama Allah.

2. Makan dengan tangan kanan.

3. Makan yang lebih dekat.

Daripada Umar bin Abu Salamah Ra, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Sebutlah nama Allah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah daripada yang lebih dekat denganmu.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

Hadis ini mengandungi perintah untuk menyebut nama Allah (membaca Basmalah) sebelum makan, makan dengan tangan kanan dan makan dari sisi yang terdekat. (Riyadus Solihin & Penjelasannya)

4. Tidak mencela makanan.

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Tidak pernah sekali pun Rasulullah SAW mencela makanan. Jika berselera, maka baginda memakannya dan jika tidak suka, baginda meninggalkannya.” (Sahih Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)

5. Makan bersama-sama.

Daripada Wahsyi bin Harb RA, bahawa sahabat Rasulullah SAW berkata: “Wahai Rasulullah, kami makan tetapi tidak berasa kenyang?” Baginda bersabda: “Mungkin kalian makan sendiri-sendiri.” Mereka menjawab: “Benar.” Baginda bersabda: “Kalau begitu, makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah, nescaya makanan kalian akan diberkati.” (Riwayat Abu Daud)