“Janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah ada antara kamu yang mengejek sebahagian yang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)
Ramai orang suka dan bersungguh-sungguh mencari dan membuka aib orang lain. Jarang yang melihat aib pada diri sendiri. Mereka berasa diri sendiri cukup baik, tiada yang tidak baik melainkan baik-baik belaka, sedang orang lain serba tidak kena.
Mereka tidak kisah sekiranya orang lain dipandang rendah dan ditertawakan, kelihatan bersalah, dibenci khalayak. Malah mereka berasa seronok atau gembira.
Oleh kerana itu mereka terus mengata tak kira siapa, mengadakan tuduhan dan cepat membuat kesimpulan menyimpang fakta dan realiti.
Sedar atau tidak, selagi ada sikap sebegitu, benci terus wujud dan perseteruan tidak akan terpadam. Tanpa ragu ia boleh menggugat keharmonian dan semangat muhibah masyarakat.
Sayidina Ali RA dipetik berkata: “Jadilah engkau orang yang paling baik di sisi Allah, orang yang buruk di sisimu (pada pandangan matamu sendiri) dan jadilah orang yang sewajarnya di mata manusia (lain).”
Kata-kata ini sangat baik untuk dijadikan panduan atau tip dalam melakukan muhasabah atau memperbetulkan diri. Ya, semacam penjajaran atau alignment. Namun, berapa ramai yang nampak cela pada diri sendiri?
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud RA: “Berapa ramai orang yang hanyut dibuai dengan kenikmatan ke atasnya? Berapa ramai orang yang termakan fitnah (terpedaya) dengan pujian ke atasnya? Berapa ramai orang yang tertipu kerana tertutup aib ke atasnya?”
Aib atau keburukan pada diri sendiri akan menjadi pengajaran sekiranya orang itu sedar dan insaf terhadap kesalahan dan kelemahannya.
Persoalannya, aib pada diri yang tidak pernah terbuka mungkin disebabkan tidak ada orang yang cuba menegur atau memberikan nasihat akan hanya menjadikan orang itu semakin jauh daripada kebenaran. Hal ini kerana orang itu berasa dirinya paling benar, paling baik dan sudah berada pada jalan lurus.
Ada orang berkata: “Orang yang mengakui kelemahan diri akan terpuji selamanya dan pengakuan adanya kekurangan itu satu tanda diterima amalnya.”
Menyedari adanya kekurangan pada diri sendiri juga menjadi tanda seseorang itu tidak angkuh. Sikap seperti ini disifatkan sebagai terpuji untuk selamanya.
Orang yang berasa dirinya masih dalam kekurangan dan kelemahan dalam sesuatu amal soleh atau kebaikan bererti akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan amalannya. Ertinya dia tidak cepat berpuas hati terhadap sikap dan amal ibadatnya.
Dalam kehidupan bermasyarakat, setiap orang perlu ada toleransi, saling menghormati dan mengasihi antara satu sama lain.
Benci, marah dan permusuhan hanya akan membuatkan hidup berasa bosan dan sukar, langkah terbatas, jiwa tertekan.
Disebutkan dalam kitab Nashaihul Ibad, Nabi Sulaiman AS bersabda kepada puteranya: “Janganlah kamu menganggap banyak mempunyai seribu sahabat. Seribu sahabat itu sedikit. Dan janganlah kamu menganggap sedikit mempunyai seorang musuh kerana seorang musuh itu bererti banyak.”
Mengapa seseorang itu harus membenci yang lain sedangkan Allah SWT sangat mengasihi hamba- Nya?
“Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada manusia.” (Surah al-Baqarah, ayat 143)