Kategori: Mind Story

  • Kawan buat anda ketawa, kecewa

    Foto hiasan – Unsplash

    Dalam hidup ini, kita tidak lari daripada berkawan. Ada yang mempunyai ramai kawan, ada yang sedikit bilangan kawan. Namun, kawan bermacam-macam ragam. Berikut disenaraikan beberapa jenis kawan:

    1. Kawan yang boleh dibuat sahabat, sehingga ke hujung nyawa.

    Ini jarang kita jumpai. Jika ada sekalipun hanya sebilangan, ertinya tak ramai. Kawan yang boleh dibuat sahabat, adalah persahabatan atas dasar ikhlas – ertinya susah atau senang tidak menjadi batasan dalam berkawan. Malahan, apabila susah, dibantu manakala senang, sama-sama dinikmati dan dihargai. Jenis ini, jenis yang baik.

    2. Kawan sekadar kawan.

      Kawan sekadar kawan, ini ramai. Jenis seperti ini apabila jumpa bertegur, apabila jauh dan tiada kelihatan, dilupakan. Ini biasa. Ada atau tiada, tiada hal.

      3. Kawan makan kawan.

        Ini harus diambil peringatan. Kawan mempergunakan anda untuk kepentingan dirinya. Kawan seperti ini tidak segan untuk memfitnah anda, membuat cerita tidak betul mengenai diri anda, demi kepentingan dirinya. Ini jika di alam kanak-kanak atau remaja, jarang dijumpai, tetapi jika anda melangkah ke alam dewasa, ke alam pekerjaan, maka anda mudah menjumpainya. Ragam ini berbahaya. Sebagai contoh kawan pejabat anda menambah cerita kepada ketua di pejabat: “Dia (diri anda) memang begitu, selalu datang lambat, malah selalu balik awal.” Maka, secara automatik, diri anda dipandang negatif oleh ketua di pejabat.

        4. Kawan yang buat anda macam hamba.

          Ini juga harus diperhatikan. Ada orang berkawan dengan anda, sekadar menjadikan anda orang suruhannya. Dia suka jika anda di bawahnya, maksudnya di bawah dalam kapasiti tahap pengetahuan, kecerdikan, atau segala-galanya. Sebaliknya, dia akan cemburu jika mendapati anda lebih berpengetahuan daripadanya, lebih cekap atau lebih berpenampilan daripada dirinya. Maka, ini juga harus waspada.

          5. Kawan yang buat anda macam kambing.

            Kawan seperti ini hanya menjadikan diri anda sebagai kambing hitam, yakni mempergunakan anda. Jarang orang perhati, tapi ianya berlaku. Contoh paling jelas adalah antara AS dan Israel. Israel kawan kepada AS, dan begitulah sebaliknya, mungkin. Tetapi Israel dipergunakan oleh AS, mengeluarkan belanja yang besar, membeli senjata AS, kemudian menggunakannya di Gaza, dan impaknya mendapat cercaan di pentas dunia, kerana penggunaan dalam konteks tidak wajar — apabila wanita, orang tua dan kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa turut terkorban bahkan paling ramai menjadi mangsa. Yang beli, yang keluar duit, yang guna dan menerima akibatnya adalah Israel. Yang dapat untung, yang tampil ke muka dunia seolah-olah tidak bersalah adalah AS. Maka, selepas Gaza dinodai dengan ganas oleh Israel, tampillah AS konon sebagai ‘penyelamat’ untuk membangunkan semula Gaza, dengan syarat memindahkan penduduknya. Begitulah liciknya permainan AS cuba untuk mendapatkan ‘mileage’ atau membuat ‘keuntungan’ daripada gerak kerja liar Israel. Ragam seperti ini sukar dikesan, sehinggalah ke satu tahap anda terduduk.

            6. Kawan yang buat anda macam keropok, ikan atau ayam.

              Ini juga harus diambil peringatan. Jangan sampai anda menjadi seperti sebatang keropok atau seekor ikan, disiat-siat, dipotong-potong, atau seekor ayam dipotong 12 dan sebagainya. Dari hari ke hari, setiap langkah dalam hidup ini mesti berhati-hati. Jangan mudah percaya, supaya anda tidak terkena.

              7. Kawan buat anda sebagai penyendal.

                Ini tentu sangat tidak disukai oleh anda. Apa tidaknya, apabila anda dibuat sebagai penyendal — apabila datang kawan berduit atau berpangkat, misalnya, maka anda ditinggalkan, anda disisihkan, dilupakan. Sehinggalah kawan berduit atau berpangkat itu pergi, maka barulah anda dicari semula. Contoh!

                Hati-hati kawan apabila berkawan!

              1. Akulah raja, kamu siapa?

                Tentera Israel beroperasi di lokasi yang diberikan sebagai Syria Selatan, dalam tangkapan skrin ini daripada video yang diperoleh Reuters pada 9 Disember 2024.

                Pergolakan di Timur Tengah — sumber utama berita dunia. Tidak habis Palestin, melarat ke Lubnan, terpercik ke Iran dan melanda Syria, bumi yang kaya sejarah, disebut-sebut orang.

                Namun, kita tertanya-tanya, apakah pergolakan itu terjadi dengan sendirinya atau ada pelakunya?

                Sukar menjawabnya kan! Tetapi cuba kita usulkan, atau cerakinkan, adakah sesuatu yang terjadi itu disebabkan fenomena alam semulajadi semata-mata, atau campur tangan manusia?

                Mungkin pada asasnya sebab fenomena alam seperti hujan dan banjir, kemarau, tetapi banjir boleh kelihatan besar, lambat surut disebabkan campur tangan manusia, seperti menutup parit, dengan menimbusnya untuk membina rumah, saliran longkang tidak diselenggara malah terbiar dengan sampah, maka sudah tentu apabila berlaku banjir, airnya merata ke tempat tidak pernah dilanda sebelumnya. Begitulah juga dengan fenomena alam yang lain.

                Kembali ke topik Timur Tengah, apakah fenomena alam yang menjadi faktornya…agak sukar untuk difikirkan.

                Sebaliknya, yang kita nampak, yang terang lagi bersuluh adalah gelagat manusia itu sendiri.
                Masing-masing tidak mahu mengalah, masing-masing mahu tunjuk hebat, mahu tunjuk lagak, seperti kata orang…ya akulah raja…kamu siapa?

                Ketika Israel berasa dialah raja, maka kamu…Hizbullah, kamu.. Iran, kamu..Syria, kamu…Gaza, kamu…di Tebing Barat, kamu siapa…siapa kamu…?

                Melawan, maka diterjah dengan bedilan, bukan acah-acah, tapi realiti, bukan dengan pistol, tapi dengan kereta kebal, pesawat perang lontar dari atas, bertalu-talu peluru berpandu, bom, hancur lebur semua di bawah….ulang lagi pada keesokannya dan begitulah seterusnya, sehingga bila…masa menentukan.

              2. Mengapa Israel menghentam Iran dan lari?

                A general view of Tehran after several explosions were heard, in Tehran
                Pemandangan umum Tehran selepas beberapa letupan kedengaran, di Tehran, Iran, 26 Oktober 2024. Majid Asgaripour/WANA (Agensi Berita Asia Barat) melalui REUTERS

                Nampaknya Benjamin Netanyahu terus dengan permainanannya – cuba bermain api dengan Iran.

                Disokong Amerika Syarikat – “abang besar” – maka, dia memberanikan diri mengerahkan tenteranya menceroboh dan menyerang Iran, semalam.

                Dalam langkah yang berhati-hati (takut), maka segera pesawat perangnya beredar selepas melakukan bedilan dari udara ke arah sasarannya.

                Mengapa Israel hentam dan lari?

                Sebab, Iran bukan orang Arab, yang mudah mereka perkotak-katikkan.

                Iran adalah bangsa Parsi, yang belum pernah mereka beradu tenaga, dan harus diingat, bangsa Parsi mempunyai sejarah yang luar biasa.

                “Abang besar” juga tidak dapat menduga jika melakukan serangan ke atas Iran, justeru mempergunakan Israel sebagai kambing hitamnya.

                Sejarah menunjukkan Amerika dapat menewaskan dan menghancurkan Iraq, tetapi itu adalah Iraq, berbeza dengan Iran. Iraq adalah Arab, manakala Iran adalah Parsi – lain.

                Malah, ketika Iran dalam blok Russia, China dan Korea Utara, membuatkan abang besar berfikir berulang kali untuk melakukan serangan ke atas Iran – dan begitu juga dengan Iran, antara berani dan tidak, untuk menyerang Israel, sebab adanya “abang besar” disokong beberapa “abang besar” yang lain.

                Justeru, sama-samalah kita saksikan permainan mereka yang kemudiannya tidak dapat tidak mencorakkan wajah baru dunia.

              3. Hidup bersama tangisan kerana permainan gila ‘atuk’

                Reem Abu Haya, seorang kana-kanak perempuan Palestin yang terselamat daripada serangan Israel yang membunuh seluruh keluarganya, menangis di hospital Nasser, di tengah-tengah konflik Israel-Hamas, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza 13 Ogos 2024. REUTERS/Mohammed Salem

                Bayangkan tiga tokoh utama membabitkan Setiausaha Agung Hizbullah Hassan Nasrallah, Ketua Hamas Yehya Sinwar dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berdiri bersama-sama di depan seorang kanak-kanak, atau sekumpulan kanak-kanak, adakah kanak-kanak terbabit mengenali diri mereka atau hanya sekadar memanggil ‘atuk’…

                Ya, ‘atuk’ yang wajahnya tidak serupa, perwatakan tidak sama…mungkinkah kerana nama mereka berbeza? Tetapi bagi kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa, mereka tidak mengenali dengan nama, sebaliknya dengan sosok tubuh dan mimik wajah ke arah mereka, sama ada senyum, muram atau bengis.

                Jika senyuman diberikan, mungkin mereka turut senyum dan bergembira, dan jika wajah bengis, mungkin mereka lari atau menangis, atau jika ada yang memberontak dan nakal membaling anak batu ke arah wajah yang bengis itu. Mungkin.

                Kanak-kanak meratapi warga Palestin Ismail Nofal, yang terbunuh dalam serangan Israel di kem khemah untuk orang yang dipindahkan, di tengah-tengah konflik Israel-Hamas, di hospital Al Aqsa Martyrs di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, 4 Ogos 2024. REUTERS /Ramadan Abed

                Sosok yang mereka panggil ‘atuk’ itulah yang membuatkan hidup mereka berantakan, hilang nikmat kehidupan, malah belum sempat mengenali dunia, nyawa melayang bak pepasir terpercik dibaling batu. Apa salah mereka? Mengapa mereka dihukum? Mengapa mereka terhukum? Mengapa mereka turut terpalit bersama permainan atuk-atuk semua?

                Satu sisi jelas menunjukkan betapa tiada nilainya nyawa dan kehidupan mereka…tiada siapa mahu peduli.

                Permainan ‘atuk’ makin menggila…tidak kenal erti kanak-kanak, tidak kenal erti kasihan belas, tidak kenal erti kemanusiaan.

                Kanak-kanak meratapi rakyat Palestin yang terbunuh semasa serangan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, di sebuah hospital, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, 3 November 2023. REUTERS/Mohammed Salem

                Kata orang, makin tua, makin menjadi. Sepatutnya, makin tua, makin berbudi, makin berperibadi.

                Ya, jika atuk berkeras juga untuk meneruskan permainan, bak kata orang main sampai mati, mainlah di tempat lain, carilah padang lain, bukan bermain di khemah kanak-kanak, bukan bermain di rumah dihuni kanak-kanak dan keluarganya, bukan bermain di sekolah, di lapangan permainan kanak-kanak.

                Pergilah main jauh-jauh. Orang bersukan pun bermain di gelanggangnya…orang bergusti di gelanggangnya, bola sepak sukan sohor dunia dimainkan di padangnya, di stadium, bukan main di rumah-rumah, bukan main di khemah-khemah, bukan main di sekolah-sekolah, bukan main di jalan raya. Itu sukan terutama bola sepak, yang jika dimainkan di sekolah, di rumah pun tidak membawa kepada kecederaan ataupun kehilangan nyawa.

                Kenderaan tentera Israel mengambil bahagian dalam serbuan, di luar sekolah, di Qabatya, dekat Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel, 19 September 2024. REUTERS/Raneen Sawafta

                Inikan pula bermain senjata api, bermain dengan peluru, bermain dengan bom, peluru berpandu, roket dan sebagainya, yang sememangnya berakhir dengan korban nyawa atau setidak-tidaknya jika bernasib baik mengalami kecederaan, maka mainlah di tempat lain…carilah lapangan lain jika mahu terus bermain. Jangan lagi dibabitkan kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa.

                Bukankah anda semua pernah menjadi kanak-kanak, membesar, sehingga bersekolah, menerima pendidikan, berpeluang bergelak tawa, berkesempatan mempunyai keluarga, kenal ibu bapa dan asal keturunan, kerana adanya budi, belas kasihan dan kemanusiaan orang sekeliling anda? Jika tidak, anda tidak akan jadi seperti anda hari ini!

              4. Mengapa dunia muslim banyak cakap daripada bertindak?

                Seorang budak lelaki Palestin duduk di tapak serangan Israel ke atas sebuah rumah, di tengah-tengah konflik Israel-Hamas, di kem pelarian Maghazi di tengah Semenanjung Gaza, 14 Ogos 2024. REUTERS

                Soalan ini kadang-kadang terpacul keluar, apabila mendapati laporan mangsa kekejaman Israel di Gaza terus meningkat. Tangisan mereka nampaknya tidak didengari orang muslim di luar sana. Mengapa?

                Tertanya-tanya, di mana umat muslim, di mana kumpulan muslim, di mana pejuang muslim, di mana mereka yang bergelar ulama dan cerdik pandai?

                Apakah mereka tahu cakap sahaja di pentas mengenai jihad, mengenai tolong-menolong, mengenai solidariti dan persaudaraan? Apabila sampai tahap bertindak, semua diam, semua hilang entah ke mana.

                Adakah ini wajah orang muslim hari ini, ramai sehingga memenuhi setiap penjuru dunia, tetapi impak seperti golongan minoriti – umpama buih-buih di lautan dilambung ombak, satu-persatu hilang atau lenyap.

                Kamu lihat, Israel walaupun negaranya kecil, mereka mendapat bantuan daripada kerabat sekeliling mereka seperti Amerika Syarikat, Britain.

                Umpama orang berbadan kecil, tetapi apabila mendapat sokongan daripada kerabat dan sahabat membuatkan orang lain jadi gerun. Tak begitu?

                Sebenarnya orang muslim hari ini semacamnya seperti apa — asyik dengan hiburan melalaikan, asyik dengan memuja dan mendewa-dewakan produk dan pencapaian Barat, asyik dalam keselesaan, membilang-bilang harta kekayaan terkumpul, asyik berbalah sesama sendiri hingga berbunuh-bunuhan, berebut pangkat dan kuasa, terperangkap dalam teori, dan sistem dunia rekaan Barat yang meninggalkan agama, melupakan manusiawi dan mendewa-dewakan dunia dalam sifir ciptaan siapa cepat, siapa kuat, dia yang dapat?

                Atau bagaimana anda fikir?

              5. Mengapa penulisan di website tiada kualiti, hambar dan keliru?

                Menghasilkan suatu tulisan tidak mudah, memerlukan pengetahuan dan latihan, pertimbangan semua sudut, analisis serta editing dari setiap segi termasuk hukum sains, matematik, logik, moral dan sensitiviti agama, adat dan komuniti.

                Anda sudah biasa dengan laman web atau website, atau ada orang panggil internet sahaja.

                Adakah anda perasan, sesetengah tulisan mengelirukan, merapu-rapu, tiada fokus, terkeluar arah logik, yang sekali gus menyusahkan pembaca ataupun pengguna, kan!

                Saya berpengalaman menulis di akhbar bertahun, malah syarikat tempat saya bekerja suatu ketika digelar seperti sebuah universiti, kerana apa?

                Sebab, setiap story (bahan cerita) yang telah disiapkan akan diperiksa oleh editor, dan setiap kali itulah, maka saya menghadap editor, untuk mengikuti sebarang pembetulan dibuat olehnya. Di situ, wujud pembelajaran – maka, setelah bertahun-tahun begitu, tidakkah boleh dikatakan sebagai ‘universiti’.

                Orang belajar IT, komputer, walaupun mereka bijak dalam pengkomputeran dan Internet, mereka masih cetek ilmu pengetahuan mengenai penulisan, mengenai runding cara dengan khalayak, cara berkesan menjual produk dan sebagainya. Mereka hasilkan produk bagus sekalipun, jika cara memasarkannya ‘dangkal’ senang cakaplah sebab banyak tulisan mereka memeningkan kepala, menyusahkan khlayak, sebab tidak fokus, tiada check & balance (tiada keseimbangan), umpama orang menyelam tidak sampai ke dasar laut atau sungai, sekadar basah pada rambut saja. Ini babit semua, tidak kira artikel laman web itu berbahasa Melayu atau Inggeris, serupa saja, kebanyakannya boleh dikatakan hambar. Ya, mereka yang menulis artikel bukannya berkelayakan, bukannya mengikuti kursus penulisan, maksudnya bukan profesional – sekadar menulis dan terbit, dengan niat mahu jana wang, itu saja. Jarang yang berkualiti. Justeru kita jangan mudah terpedaya. Mereka fikir semua orang boleh menulis, maka mereka juga menulis. Konon tidak mahu keluar wang untuk mengupah penulis terlatih, maka begitulah lanskap laman web atau website yang anda tatap, ‘search’ atau layari setiap hari atau setiap waktu, kualiti penulisan yang sungguh mendukacitakan. Saya sengaja kata, saya sengaja dedah, sebab terlampau sangat teruknya, sehingga dalam sesetengah kes merugikan pengguna – ya, paling tidak membazir Internet, kerana mengikuti penerangan berjela-jela, sedangkan pada akhirnya tiada apa-apa. Jadi, cukuplah dahulu di sini.

              6. AS cakap tak serupa bikin

                Penunjuk perasaan memegang bendera dan senjata di sebelah imej Almarhum pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, semasa protes untuk mengutuk pembunuhannya di Iran, di Sidon, Lubnan, 31 Julai 2024. REUTERS/Alkis Konstantinidis/Foto Fail

                AS berbunyi semula selepas Ismail Haniyeh dibunuh di Iran – konon mahu membendung peningkatan krisis di Timur Tengah atau lebih tepatnya antara zionis Israel dengan musuh Islamnya.

                Jika betul AS mahu mengelakkan peningkatan krisis, kenapa tidak menghukum pembunuh Ismail Haniyeh, kenapa tidak mengheret pihak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan dan kenapa melihat saja aksi liar ‘pengganas’ Israel menceroboh Lubnan, Syria dan yang terang lagi nyata, terus merosak binasa Gaza? Kenapa?

                Mengapa bersikap berat sebelah – mata pemimpin AS dan rangkaiannya seolah-olah seperti menonton filem perang Hollywood. Mereka lihat saja paparan kemusnahan rakyat Palestin, dengar saja tangisan kanak-kanak Palestin, tetapi tiada tindakan berkesan untuk menghentikannya — adakah otak pemimpin AS dan sekutunya sudah tidak dapat berfungsi dengan sempurna, sudah dibius, atau kerana impak vaksin covid?

                Anda, AS mahupun sekutu Barat lain untuk menyokong sesiapa termasuk Israel, itu adalah hak anda…tiada siapa pertikai dan tiada siapa cemburu, tetapi jika sampai membunuh orang tidak berdosa, menembak dalam diam ketika orang sedang tidur, menjadi tetamu kenamaan kerajaan, seperti Haniyeh tetamu kepada Iran, adalah suatu tindakan keterlaluan, yang perlu dibenci, dicerca dan dihukum. Mengapa tidak?

                Israel sebuah negara kecil, berbanding negara Arab sekelilingnya, tetapi dia mengambil langkah berani kerana ada negara besar di belakangnya.

                Eh…seperti seorang budak bersikap berani membuat khianat kepada yang lain, kerana ada kawannya yang berbadan lebih besar, kelihatan lebih sasa dan ada senjata pula. Kawan itu dilayan seperti ‘abang besar’.

                Dalam suatu tempoh singkat, mungkinlah budak itu tiada siapa berani sentuh, sebab adanya ‘abang’ di belakang. Tetapi apakah terdapat jaminan abang besarnya dapat melindunginya untuk suatu tempoh yang lama.

                Kawan…batu, ya batu…”dihentam” titisan air sedikit demi sedikit tetap meninggalkan kesan…berlekuk juga, kan. Dan lekukan itu membentuk coraknya dan ada gunanya.

                Begitu juga pasir…di gurun…ditiup angin boleh terbang, kan…maka, kita boleh panggilnya “pasir terbang” dan dengan tiupan angin itulah merubah coraknya, sehingga kita pandang gurun pasir yang luas terbentang itu cantik rupanya.

                Jadi, Israel hanya menunggu masa sahaja untuk datangnya period perubahan..agar geopolitik Timur Tengah kembali tenang, hidup aman dan damai. Abang adiklah sangat.

                Hidup, hidup
                Hidup Palestin!

              7. Ikut nafsu lesu, ikut hati mati

                Pernah dengar orang berkata dengan frasa berikut: Ikut nafsu lesu, ikut hati mati?

                Selalu orang menanggapinya antara dengar tak dengar kan. Tak ambil kisah atau tak ambil serius, padahal hakikatnya berlaku sebagaimana ungkapan atau frasa itu.

                Apa tidaknya, orang ikut nafsu, misalnya dalam penagihan dadah, semua lesu, kan. Tak pernah pandang pada orang menagih dadah? Pandanglah, walaupun mereka bukan orang terpandang…ambil peringatan, buat sempadan. Faham ke tak tu?

                Lesu, apabila tak kena…segar, kuat semena-mena jika baru lepas kena…

                Waktu tak dapat ‘barang’ tu, cakap pun jadi merapu, perangai entah apa-apa, boleh bertindak yang bukan-bukan. Hati-hati kawan!

                Kemudian, ikut hati…mati. Betul, orang yang ikut hati sehingga membunuh orang lain, maka matilah orang itu. Orang itu, mungkin suatu ketika kawan sepermainan, kawan waktu kanak-kanak, kawan sebilik, satu ruang hospital semasa dilahirkan ke, satu kampung, satu asrama, satu rumah ataupun satu katil, pernah tidur, pernah bersatu, pernah bermadu kasih, berasmara ataupun orang itu kekasih pujaan hati yang kerana selisih faham dan ikut keras kepala, sampai sanggup memperlakukan suatu tindakan melayang nyawanya. Mungkin juga orang itu sekadar teman di pinggiran, ibu bapa ataupun orang tak dikenali, tapi kerana ikut hati, diperlakukan sehingga tercabut nyawa dikandung badan.

                Kawan, apa apa erti kawan, jika diperlakukan seperti haiwan? Kasih apa erti kasih, jika cekik, humban macam musuh durjana?

                Oleh kerana itu, dari masa ke masa, bersihkanlah hati, basuhlah jiwa, sapu noda, lap, sental dengan bersungguh-sungguh. Jangan kerana karat noda yang tanpa disedari dibiarkan merebak, buat diri dan orang lain merana sama. Ingat, hidup cuma sekali, tidak dijual di mana-mana. Canggih macam mana sekalipun teknologi manusia, takkan dapat membuat hidup. Tidak akan ada nyawa buatan Britain, Amerika Syarikat atau Israel, misalnya – takkan bisa. Fikir-fikir!

              8. Jari besar lidi dah merokok

                Suatu ketika, saya memandu di suatu jalan dekat sebuah sekolah, di sebuah pekan di Malaysia. Sambil memandu tu, maka saya terpandang sekumpulan pelajar di luar sekolah, dekat persekitaran garaj jual kereta.

                Dan dalam kumpulan itu, saya terpandang pelajar yang paling kecil dalam kalangan mereka.

                Dengan berseragam sekolah, pelajar yang kecil itu bersama sebatang rokok di tangan. Konon dalam yang ramai tu, dialah agaknya ‘hero’.

                Maka, terdetik pada hati, ‘alahai, jari dengan rokok, lebih besar lagi rokok’.

                Begitulah sepintas lalu, gejala buruk dalam kalangan pelajar. Wang saku yang diberikan ibu bapa untuk buat belajar, disalah guna untuk rokok misalnya.

                Jika betul wang diberikan ibu bapa untuk bersekolah disalah guna, ianya suatu tindakan tidak amanah. Apabila tidak amanah, maka ianya dinamakan khianat…khianat terhadap amanah dan kepercayaan ibu bapa.

                Eh, tak kesian ke kepada ibu bapa. Apa, kamu ingat senang ke cari duit? Ada ibu bapa, sampai sanggup tak makan, semata-mata mahu tengok anaknya dapat ke sekolah, dapat membeli juadah di kantin sekolah bersama pelajar lain.

                Pergi ke sekolah untuk apa…untuk jadi baik kan…untuk jadi cerdik…untuk pandai seperti orang yang pandai, bukan untuk tunjuk lagak, bersikap dengan sikap tidak sewajarnya.

                Ada juga pelajar pergi ke sekolah untuk ‘couple’. Kadang-kadang, bukan satu, bahkan dua, tiga…itu awek dia, ini awek dia….huh…semak! Apa nak jadi…matlamat ke sekolah sudah tersasar.

                Sepatutnya, peluang dan ruang yang diperoleh untuk belajar itu dimanfaatkan. Di sesetengah tempat, sekolah pun tak ada, pelajar belajar di bawah terik matahari, malahan ada yang tidak mempunyai guru atau disekat daripada menghadiri sekolah seperti di Afghanistan (menurut laporan media). Justeru, kita yang ada sekolah, yang ada guru, masih mampu bersekolah, maka gunakanlah peluang itu sebaik-baiknya. Jagalah disiplin, kita sebagai pelajar buatlah cara nak belajar.

              9. Antara cakap dan hentam

                Serangan udara Israel di Hodeidah, Yaman, 20 Julai 2024. Pusat Media Houthi/Edaran melalui REUTERS

                Kan, seperti dijangka, Israel hanya berani menyerang puak minoriti, puak yang dirasakan lemah, seperti Houthi.

                Tak hairanlah apabila media melaporkan kawasan minyak Houthi diserang pesawat perang dari Israel. Mana lagi mereka mahu serang, jika tidak di titik tumpuan seperti itu…takkan mereka mahu bom padang pasir!

                Bertuah, Israel berada di tengah-tengah puak Arab yang lemah, yang hanya pandai bercakap…dari mula sampailah kini…bercakap saja…tak habis-habis.

                Barangkali Israel jadi berani, ceroboh sana-sini, masuk merata-rata ceruk, sebab puak Arab masa kini asyik cakap saja. Kan!

                Hanya Houthi yang berani…tapi berani dengan senjata tidak semoden pihak Israel…sekali dihentam, berhari-hari terbakar. Cerita lanjut, bacalah laporan media.

                Bangunlah bangsa Arab. Orang Palestin juga adalah orang Arab. Mereka cakap Arab lebih baku daripada puak lain. Hari demi hari semakin bertambah korban dalam kalangan rakyat Palestin. Adakah memadai dengan menghantar bekalan makanan?

                Jika masih gagal menghentikan krisis di Gaza atau Palestin, ia jelas menunjukkan anda semua masih gagal. Justeru, usah berbangga dengan pemodenan, teknologi dan kepandaian — tanda aras boleh dilihat pada isu tersebut.