UPPSALA,Sweden/STOCKHOLM – Tiga orang terbunuh dalam satu tembakan di bandar Uppsala di Sweden pada Selasa dan siasatan pembunuhan dilancarkan, kata polis.
Polis berkata ia sedang menyiasat tembakan itu sebagai pembunuhan dan ia tidak mempunyai maklumat mengenai kejadian itu sebagai jenayah keganasan atau kebencian pada ketika ini.
“Kami mempunyai maklumat bahawa seseorang meninggalkan tempat kejadian dengan skuter elektrik,” kata jurucakap polis kepada Reuters.
“Sama ada orang ini adalah pelaku atau saksi, atau seseorang yang mempunyai kaitan dengan kejadian itu, ia tidak jelas buat masa ini.”
Polis berkata mangsa masih belum dikenal pasti dan enggan membuat spekulasi mengenai motif pembunuhan itu.
Skuter elektrik telah digunakan beberapa kali sebagai cara melarikan diri selepas tembakan konflik geng di Sweden. Uppsala, kira-kira 40 minit ke utara ibu negara, Stockholm, dengan menaiki kereta, telah menyaksikan banyak kejadian tembakan berkaitan kumpulan samseng dalam dekad lalu, tetapi biasanya di luar pusat bandar.
Menteri Kehakiman Sweden, Gunnar Strommer berkata, Kementerian Kehakiman sedang berhubung rapat dengan polis dan sedang memantau dengan teliti perkembangan kes itu.
“Tindakan keganasan yang kejam telah berlaku di tengah Uppsala… Ini pada masa yang sama dengan seluruh Uppsala telah memulakan Malam Walpurgis. Apa yang telah berlaku amat serius,” kata Strommer dalam satu kenyataan.
Polis berkata sebelum ini mereka menerima panggilan daripada orang awam yang mendengar bunyi tembakan di pusat bandar, dan perkhidmatan kecemasan telah bergegas ke tempat kejadian.
“Tiga orang disahkan maut selepas tembakan…Polis sedang menyiasat kejadian itu sebagai pembunuhan,” kata penyiasat dalam satu kenyataan.
Saksi memberitahu SVT mereka telah mendengar lima tembakan dan telah melihat orang ramai di kawasan itu berlari untuk berlindung. Beberapa media Sweden, termasuk TT, melaporkan bahawa tembakan berlaku berdekatan atau di salun rambut.
Sepuluh orang terbunuh pada Februari di bandar Orebro di Sweden dalam kejadian tembakan beramai-ramai paling maut di negara itu, di mana seorang penganggur berusia 35 tahun melepaskan tembakan ke arah pelajar dan guru di pusat pendidikan dewasa.
Sweden telah mengalami gelombang keganasan berkaitan geng selama lebih sedekad yang telah merangkumi wabak keganasan senjata api.
Kerajaan minoriti sayap kanan negara Nordik itu mula berkuasa pada 2022 atas janji untuk menangani keganasan berkaitan geng. Ia telah mengetatkan undang-undang dan memberi lebih banyak kuasa kepada polis, dan selepas penembakan Orebro berkata ia akan berusaha untuk mengetatkan undang-undang senjata api.
REUTERS