Tiga maut kemalangan di susur keluar Balakong, Lebuhraya Besraya awal pagi tadi – Bomba

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki tempatan maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban arah utara, berhampiran susur keluar Balakong, awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.57 pagi sebelum 10 anggota bersama dua jentera dikejarkan ke tempat kejadian.

Setibanya di lokasi pada 6.07 pagi, pasukan bomba mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan dan terdapat tiga mangsa lelaki dewasa tersepit di dalam kenderaan tersebut.

Anggota bomba mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan kesemua mangsa sebelum mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

BH ONLINE