TDM gagalkan cubaan PATI warga China masuk Malaysia

TANAH MERAH – Tentera Darat Malaysia (TDM) menahan seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga China di sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Sungai Golok, di sini, malam tadi dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam kenyataan berkata lelaki berusia 38 tahun itu ditahan jam 10.30 malam tadi ketika anggota sedang melaksanakan rondaan di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

Katanya, lelaki berkenaan mendarat di tebing Sungai Golok berhampiran kawasan hutan di sebelah Malaysia menggunakan sebuah bot.

“Berdasarkan pemeriksaan, suspek mempunyai kerakyatan China berdasarkan penemuan dokumen peribadi iaitu kad pengenalan dan pasport China yang masih sah laku.

“Pada masa sama, suspek turut mendakwa sudah membayar sejumlah wang kepada ejen yang menjanjikan peluang pekerjaan di Malaysia,” katanya.

Menurut 2 Divisyen, anggaran keseluruhan nilai barangan peribadi termasuk mata wang negara China dan Thailand yang ditemui bersama suspek adalah sebanyak RM13,900.55.

“Lelaki itu kemudiannya diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, berdasarkan rekod, tangkapan terakhir PATI dari China oleh Pasukan Operasi TDM di KTJ 8 Bgd adalah pada 2023.

BH ONLINE