BATU KAWAN – Seorang remaja lelaki yang terjatuh ke muara sungai ketika memukat dekat Jalan Batu Kawan menghala Jeti Batu Musang, di sini, petang semalam ditemukan mati lemas.
Mayat remaja berusia 15 tahun itu ditemui pada jam 5.45 pagi tadi dengan jarak 10 meter (m) dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata mayat mangsa ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang menjalankan operasi sejak semalam.
“Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kawan terbabit dalam operasi berkenaan dengan mendapat bantuan dari Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Butterworth.
“Operasi dibahagikan kepada enam sektor pencarian menggunakan dua unit bot gentian kaca. Keadaan arus deras dan jarak penglihatan yang terhad menyukarkan penyelam melakukan pencarian secara menyeluruh yang menyebabkan operasi terpaksa dihentikan pada jam 6.10 petang semalam.
“Kemudian operasi bersambung semula awal pagi tadi sebelum mangsa ditemui pada jam 5.45 pagi,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika memukat bersama abang dan sepupu lelakinya di sungai berkenaan.
Difahamkan mangsa menyelam ke dalam sungai terbabit bagi melepaskan jala yang tersangkut, namun tidak timbul menyebabkan abangnya menghubungi bomba untuk tindakan lanjut.
BH ONLINE