Polis tahan suri rumah dalang pecah tabung surau

KUALA TERENGGANU – Polis menahan seorang suri rumah yang disyaki terbabit kes curi duit tabung berjumlah RM22 dalam sebuah surau dekat Pasir Panjang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kehadiran suspek berusia 34 tahun di lokasi disedari seorang penduduk kira-kira jam 5 petang semalam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada imam surau berkenaan.

Beliau berkata, imam berusia 59 tahun itu kemudian bergegas ke surau sebelum mendapati suspek sedang mengumpil tabung surau dengan batang besi dan pembaris untuk mengeluarkan wang tabung yang berada di ruang solat lelaki.

“Pengadu memaklumkan, suspek sama turut mencuri duit di dalam tabung yang berada di ruang solat wanita dan melarikan wang RM300 pada 21 April lalu, selain pernah cuba mengumpil tabung surau pada 25 April lalu namun melarikan diri selepas melihat kehadiran ibu pengadu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azli berkata, pihaknya turut merampas sebilah senduk, sebatang pembaris besi yang dibengkok dan wang tunai berjumlah RM16.

Katanya, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan.

BH ONLINE