Polis Poland berkata seorang terbunuh dalam serangan kapak di Universiti Warsaw

Polis Poland beroperasi dekat akses utama ke Universiti Warsaw selepas serangan menggunakan kapak di kampus, di Warsaw, Poland, 7 Mei 2025. REUTERS

WARSAW, 7 Mei – Polis berkata pada Rabu mereka menahan seorang lelaki Poland berusia 22 tahun selepas dia membunuh seorang dengan kapak di Universiti Warsaw, dalam serangan disifatkan institusi itu sebagai “tragedi besar”.

“Polis telah menahan seorang lelaki yang memasuki kampus Universiti Warsaw. Seorang meninggal dunia, seorang lagi dibawa ke hospital dengan kecederaan,” kata Polis Warsaw dalam satu kenyataan di X.

Menurut mereka, kejadian berlaku kira-kira jam 6.40 petang (1640 GMT), apabila lelaki itu menyerang orang ramai di kampus dengan kapak, sambil menambah bahawa tahanan itu adalah warga Poland berusia 22 tahun.

Harian Gazeta Wyborcza melaporkan, penyerang adalah pelajar undang-undang tahun tiga.

Penyiar swasta Polsat News melaporkan kepala wanita yang terputus dan sebilah kapak telah ditemui di universiti itu.

Jurucakap pejabat pendakwa daerah enggan mengulas sama ada kepala terputus telah ditemui.

Jurucakap itu berkata, seorang kakitangan pentadbiran wanita universiti itu telah terbunuh di tempat kejadian dan seorang pengawal keselamatan cedera dan dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

Dia berkata, penyerang telah memasuki auditorium di universiti itu.

Wartawan Reuters di tempat kejadian melihat van polis dan kordon di sekeliling auditorium tempat serangan itu berlaku.

Rektor Universiti Warsaw berkata dalam satu kenyataan bahawa 8 Mei akan menjadi hari berkabung di institusi itu, menyifatkan serangan itu sebagai “tragedi besar”.

“Kami melahirkan rasa dukacita dan simpati yang besar kepada keluarga dan orang tersayang,” kata kenyataan itu.

REUTERS