Penoreh getah hilang 4 hari lalu ditemui lemas

RAUB – Penoreh getah yang dilaporkan hilang empat hari lalu ditemui mati lemas kira-kira empat kilometer dari lokasi dia disyaki terjatuh di Pusat Rekreasi Jeram Besu di sini, pagi tadi.

Mat Salleh Junoh, 63, dari Perumahan Tat Sega di sini, ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan selepas menerima laporan dari anak lelaki mangsa pada Khamis lalu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman, berkata mangsa dilaporkan hilang dari rumah kira-kira jam 7.20 pagi pada 15 April lalu.

Katanya, anaknya menyedari kehilangan itu selepas mendapati kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza milik mangsa tiada di rumah.

“Selain itu mangsa tidak membawa sebarang dokumen pengenalan diri dan MPV itu dijumpai di parkir Pusat Rekreasi Jeram Besu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik maklumat mengenai kehilangan itu dilaporkan pelbagai agensi polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) digerakkan mencari mangsa.

“Seramai 58 anggota keselamatan dan penyelamat terlibat dalam operasi ini termasuk bantuan penduduk kampung,” katanya.

Che Adam berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis tindakan lanjut dan operasi ditamatkan jam 11.30 pagi.

BH ONLINE