GEORGETOWN – Seorang penjaga stor pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual dan memperkosa seorang remaja perempuan bawah umur Mac lalu.
Tertuduh, 20, memohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Juraidah Abbas.
Tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun di sebuah pangsapuri di Tanjung Tokong di sini antara jam 1 hingga 6 pagi pada pertengahan Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa di lokasi dan masa sama mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
Timbalan Pendawa Raya, S Preeya Darrsini menawarkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga Malaysia.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum dengan alasan bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM1,800 sebulan, selain bapanya yang akan membayar wang jaminan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 13 Jun sebagai tarikh sebutan kes dan lantikan peguam.
BH ONLINE