KUCHING – Seorang pemandu e-hailing dipercayai cuba melakukan gangguan seksual terhadap penumpangnya remaja perempuan berusia 15 tahun dengan meminta membuka tudungnya ketika dalam perjalanan menghantarnya ke rumah.
Dalam kejadian yang tular di media sosial dipercayai berlaku ketika remaja terbabit menaiki kereta lelaki berkenaan baru-baru ini.
Dalam video berdurasi 12 saat dipercayai dirakam oleh mangsa yang duduk di bahagian belakang, pemandu e-hailing terbabit kedengaran jelas meminta mangsa membuka tudungnya.
Apabila remaja perempuan bertanya untuk apa, lelaki terbabit berkata hanya untuk melihat muka.
Bagaimanapun, remaja perempuan itu enggan sambil memberitahu tidak boleh mendedahkan aurat.
Dalam satu lagi video, lelaki terbabit berjaya ditahan oleh keluarga remaja terbabit di satu lokasi yang tidak dikenal pasti.
Walaupun ditanya oleh bapa remaja itu apa motif dia meminta mangsa membuka tudung, lelaki terbabit seolah-olah tidak rasa bersalah malah mengugut akan menyaman mereka yang merakam video keretanya.
“Aku nak nangga muka ajak, salahkah (Saya hendak melihat mukanya sahaja, salahkah?),” katanya sambil duduk bersahaja di dalam keretanya.
Mengulas perkara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memuji tindakan berani remaja terbabit mendedahkan perbuatan lelaki itu.
“Saya meminta semua pihak untuk berani bersuara menentang gangguan seksual demi mempertahankan maruah dan keselamatan masyarakat.
“Kepada remaja di luar sana, jangan berdiam diri anda berhak untuk bertindak demi keselamatan dan maruah diri dan pada masa yang sama, saya komited untuk memperkasa keadilan melalui pelaksanaan penuh Tribunal di bawah Akta Gangguan Seksual,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Nancy berkata, tindakan tegas bapa mangsa yang menggesa lelaki terbabit ke balai polis untuk membuat laporan mencerminkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu gangguan seksual yang tidak boleh dipandang ringan.
“Saya difahamkan bahawa kes ini kini berada di bawah siasatan pihak polis. Apabila berlaku kes gangguan seksual, masyarakat meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk bertindak dengan adil dan segera.
“Saya juga mengajak semua wanita, lelaki, ibu bapa, pendidik dan rakan sekerja untuk bersama-sama membina persekitaran yang lebih selamat dan bermaruah, dengan berani bersuara apabila berdepan atau menyaksikan sebarang bentuk gangguan seksual, khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak dan wanita,” katanya.
BH ONLINE