KUALA LUMPUR – Selepas hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan kejiranan, dua bersaudara ditemukan maut di sebuah rumah di Semenyih, dekat sini, dipercayai menjadi mangsa pembunuhan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 8.43 malam, hasil makluman seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang mengesyaki sesuatu selepas terhidu bau busuk dari rumah kakaknya.
Katanya, maklumat awal mendapati kakak pengadu berumur 53 tahun yang tinggal bersama anak saudara lelaki berumur 25 tahun sudah hampir 10 hari tidak kelihatan di kawasan rumah mereka.
“Rumah mangsa dipecah masuk dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. Pemeriksaan menemui dua tubuh terbaring di ruang tamu yang disahkan sudah meninggal dunia.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang kesan geledah, manakala pintu rumah berkunci dari dalam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naazron berkata, beberapa barang kes turut dirampas untuk membantu siasatan, namun setakat ini tiada tangkapan dibuat.
Beliau berkata, keterangan ahli keluarga dan saksi lain sedang diambil bagi membantu siasatan, manakala motif kejadian masih dalam siasatan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat, yang dijalankan pada jam 2.30 petang semalam.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat sesak nafas,” katanya.
Naazron berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan siasatan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan R K Umesh di talian 012-6114900 atau mana-mana balai polis berhampiran.
BH ONLINE