KUCHING – Lelaki yang dilaporkan hilang selepas terjatuh dari Jambatan Tun Salahuddin di sini, Jumaat lalu ditemukan lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Haffiz Abdullah Sapwan, 34, ditemui orang awam di Sungai Sarawak pada jam 12.38 tengah hari tidak jauh dari Persatuan Nelayan Bintawa Kotak kira-kira satu kilometer dari lokasi dia terjatuh.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa kemudian dibawa naik ke Jeti Jabatan Laut Wilayah Sarawak dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu melalui MERS 999 pada jam 9.29 pagi Jumaat lalu.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan oleh sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya sejurus menerima panggilan itu.
Operasi SAR mangsa disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) dan Sarawak Coast Guard.
BH ONLINE