Ibn Athaillah, tokoh sufi terkenal

Seorang tokoh ulama sufi terkenal ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad bin Atha’illah as-Sakandari (atau al-Iskandari) yang dikenali sebagai Ibnu Atha’illah.

Beliau lahir di Iskandariah (Alexandria), Mesir pada 1250 (648 H).

Beliau seorang Arab yang hidup di Mesir sewaktu pemerintahan Dinasti Mamluk.

Keturunannya berasal dari Judzam iaitu satu kabilah Kahlan yang berakhir pada Bani Ya’rib bin Qahtan, bangsa Arab yang terkenal dengan Arab al-Aa’ribah.

Keluarga beliau terdidik dengan ajaran agama, bahkan datuknya alim dalam bidang fiqah manakala bapanya pernah bersama pengasas tarekat asy-Syadzili, Abu al-Hasan asy-Syadzili.

Ibnu Atha’illah seorang yang gemar belajar sejak kecil. Gurunya yang paling dekat ialah Abu al-Abbas Ahmad bin Ali al-Anshari al-Mursi, murid kepada Abu al-Hasan al-Syadzili.

Dalam bidang fiqah, beliau mengikuti aliran Mazhab Maliki manakala dalam bidang tasawuf tarikat asy-Syadzili.

Tahap pembelajaran beliau boleh dibahagikan kepada tiga. Pada tahap pertama, beliau terpengaruh dengan pemikiran datuknya yang tidak bersetuju dengan ahli tasawuf.

Dalam hal ini Ibnu Atha’illah bercerita: “Dulu aku adalah termasuk orang yang mengingkari Abu al-Abbas al-Mursi iaitu sebelum aku menjadi murid beliau. Pendapat aku waktu itu bahawa yang ada hanya ulama ahli zahir, tapi mereka (ahli tasawuf) mendakwa adanya hal yang besar, sementara zahir syariat menentangnya.”

Tahap kedua pembelajarannya bermula semenjak bertemu Abu al-Abbas al-Mursi pada 674H dan berakhir dengan perpindahannya ke Kaherah. Pada waktu inilah beliau mulai mengagumi tasawuf.

Sementara tahap ketiga dinamakan sebagai tahap kesempurnaan Ibnu Atha’illah dalam ilmu fiqah dan tasawuf.

Dalam tarekat Syadzili, beliau dikenali sebagai syeikh ketiga iaitu selepas pengasasnya, Abu al-Hasan asy-Syadzili dan Abu al-Abbas al-Mursi.

Beliaulah yang menghimpunkan ajaran, pesanan, doa dan biografi kedua-duanya sehingga khazanah tarekat Syadzili tetap terpelihara.

Dalam pada itu, dikatakan beliau menghasilkan lebih 20 karya. Dan kitab al-Hikam adalah karya utama beliau yang popular di dunia Muslim selama berabad-abad, bahkan sampai ke hari ini. Malah, kitab ini juga menjadi bacaan utama di hampir seluruh pusat pengajian agama terutama di pondok Nusantara.

Ibnu Athaillah dikatakan meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada 709 Hijrah bersamaan 1309 Masihi.

Jasadnya disemadikan di Tanah Perkuburan Qarafah di Kaherah yang dikenali juga sebagai City of the Dead, di kaki bukit Jabal al-Muqattam. Makamnya menjadi kunjungan dan tapak penghormatan.