Hasan al-Basri

Dia adalah al-Hasan putra Abul Hasan bin Yasar, seorang ahli fikih yang zuhud, pelayan Zaid bin Tsabit al-Ansari.

Ibunya Khairah, pelayan Ummul Mukminin, Ummu Salamah, isteri Nabi SAW.

Di rumah Ummu Salamah, Khairah melayani tuannya dengan sebaik-baiknya sampai tiba waktunya untuk melahirkan.

Dia pun melahirkan puteranya al-Hasan, lalu segera menyampaikan berita gembira mengenai kelahiran al-Hasan kepada Ummul Mukminin, Ummu Salamah.

Perasaan Ummul Mukminin dipenuh dengan kebahagiaan. Kegembiraan Ummul Mukminin semakin bertambah ketika melihat roman muka yang baik dan indah daripada putra pelayannya itu.

Ummu Salamah bertanya: “Apakah kamu sudah memberikan nama untuk anakmu, hai Khairah?”

Khairah menjawab: “Belum, wahai ibu. Aku belum memberinya nama hingga saat ini. Pilihkanlah satu nama olehmu untuknya dan aku akan menyetujuinya sambil berharap mendapat berkat melaluimu.”

Ummu Salamah berkata: “Dengan berkat Allah, kita beri nama dia al-Hasan.”

Dengan penuh kerendahan hati, dia pun mendoakan kebaikan untuk al-Hasan sehingga keberkatan daripada doa ini terus mengalir sepanjang waktu.

Demikian pula dengan ayahnya Yasar, dia turut merasakan kegembiraan rumah Nabi bersama isterinya kerana kehadiran seorang anak yang soleh ini.

Lantas dia pun meninggalkan rumah tuannya Zaid bin Tsabit al-Ansari dan datang untuk melihat raut wajah al-Hasan sambil membawa doa daripada gurunya, seorang sahabat yang mulia, Zaid bin Tsabit, agar Allah memberkatinya dalam keturunannya.

Khairah seorang yang sangat disiplin dalam melakukan pekerjaannya.

Seperti sebelumnya, dia adalah orang yang sentiasa melayani tuannya dengan sangat baik, sehingga kadang-kadang dia harus keluar meninggalkan rumah Rasulullah untuk memenuhi sebahagian keperluan Ummul Mukminin.

Tangisan bayi yang ditinggalkan ini sering menggerakkan perasaan Ummul Mukminin.

Ketika Ummul Mukminin mendengar suara tangisan bayi dari dalam rumah, segera dia melihatnya dan ternyata Khairah sedang tiada di rumah.

Dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba dia merasa air susunya mengalir deras, maka Ummul Mukminin meletakkan bayi itu di pangkuannya, lalu disusuinya supaya diam.

Kerana rasa cintanya terhadap bayi itu, Ummul Mukminin dapat mengeluarkan air susu yang kemudian diminum oleh si bayi hingga merasakan kenyang dan diam daripada tangisannya.

Dengan demikian, kedudukan Ummul Salamah bagi Hasan al-Basri adalah sebagai ibu dalam dua sisi.

Pertama, dalam hubungan yang khusus Ummu Salamah adalah ibu susuan bagi beliau.

Kedua, kerana Hasan adalah seorang Mukmin seperti kita semua, maka Ummu Salamah adalah ibunya kaum Mukminin (Ummul Mukminin).

Ketika Hasan mendekati usia baligh dan menjadi remaja, dia sering masuk ke rumah Ummul Mukminin kerana adanya hubungan yang sangat baik dan ikatan yang sangat kuat antara mereka.

Kerana keceriaannya, sering kali dia melompat-lompat hingga tangannya dapat menyentuh atap rumah.

Ketika matanya terbuka untuk mempelajari ilmu, dia pun menemui sahabat yang mulia untuk berguru kepada mereka dan dan duduk mendengar daripada mereka di masjid Rasulullah SAW.

Dia meriwayatkan daripada Sayidina Utsman bin Affan dan Ali bin Abi Talib yang lama diikutinya sehingga dia dipenuhi ilmu dan ketakwaan.

Hasan juga meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Jabir bin Abdullah dan Anas bin Malik.

Ketika Hasan masih usia belia, Yasar ayahnya pindah ke Basrah. Saat itu juga Ummu Salamah meninggal dunia.

Maka, Khairah pun pergi untuk menemani suami dan anaknya dan menetap bersama mereka di sana.

Kerana itu, nama Hasan dikenali nama Hasan al-Basri.

Ikuti kisah selanjutnya dalam e-buku di Google Play Book: Tokoh Muslim Sohor