Filipina kecam pembunuhan wartawan veteran

MANILA – Pembunuhan seorang wartawan veteran Filipina di rumahnya adalah “perbuatan keji” yang sedang disiasat oleh polis, kata Pasukan Petugas Presiden Filipina mengenai Keselamatan Media pada Rabu.

Juan “Johnny” Dayang, 89, yang berkhidmat sebagai presiden emeritus Persatuan Penerbit Filipina Inc, ditembak oleh penyerang tidak dikenali di rumahnya di wilayah tengah Aklan pada malam Selasa, dan meninggal dunia sebelum sampai ke hospital, kata pasukan petugas itu.

“Kami sedang menyelaras rapat dengan semua agensi berkenaan bagi memastikan penyelesaian segera kes ini,” Jose Torres Jr, pengarah eksekutif pasukan petugas itu, dalam satu kenyataan.

“Kami berdiri dalam solidariti dengan komuniti media ketika kami meratapi pemergian Dayang, seorang tokoh yang dianggap sebagai tonggak kewartawanan Filipina yang sumbangannya sangat memperkaya wacana demokrasi kami,” tambah Torres.

Walaupun persekitaran media yang berada di kedudukan sebagai salah satu yang paling liberal di Asia, Filipina adalah salah satu tempat paling berbahaya di dunia untuk wartawan, terutama di wilayahnya.

Lebih 200 wartawan telah terbunuh di negara itu sejak demokrasi dipulihkan pada 1986, menurut Kesatuan Kebangsaan Wartawan Filipina, termasuk 32 dalam satu kejadian pada 2009.

“Kematian Dayang mewakili kerugian besar kepada media Filipina dan landskap politik,” kata Publishers Association dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Dayang berkhidmat sebagai Datuk Bandar Kalibo, kampung halamannya, dari 1986 hingga 1987.

REUTERS