Dua wanita maut selepas kereta dirempuh pikap

BINTULU – Dua wanita maut, manakala dua lagi parah selepas kereta dinaiki mereka dirempuh sebuah pikap di lampu isyarat Jalan Paragon di sini, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, mangsa terdiri Yiu Siew Lee, 34, dan Janam Ampar, 44, disahkan mati di lokasi nahas oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berkejar di lokasi kejadian dengan ambulans.

“Dua lagi mangsa terdiri lelaki warga tempatan dan wanita warga asing turut dilaporkan mengalami kecederaan parah,” ujarnya.

Pemandu kenderaan pacuan empat roda terbabit yang juga warga China, tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.54 malam.

“Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan yang mana terdapat dua mangsa masih lagi tersepit dalam kereta yang dinaiki.

“Dua lagi mangsa dalam kereta sama berjaya dikeluarkan dengan bantuan orang awam lalu sebelum kepada petugas KKM untuk rawatan lanjut,” jelasnya.

Pasukan bomba katanya bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa yang masih tersepit di celah-celah kereta dengan menggunakan peralatan khas.

Sejurus dikeluarkan, petugas KKM yang melakukan pemeriksaan mendapati kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Punca sebenar nahas masih lagi dalam siasatan polis.

BH ONLINE