“Dan apabila sampai masa berlakunya hukuman atas manusia, Kami keluarkan untuk mereka sejenis binatang dari bumi, yang akan menyatakan kepada mereka, bahawa manusia telah tidak meyakini ayat-ayat keterangan dan pengajaran Kami.” (Maksud ayat 82, surah an-Naml, dalam Tafsir Pimpinan ar-Rahman)
Keterangan dalam tafsir itu: Tatkala hampir hari kiamat akan berlaku pelbagai peristiwa yang mengerikan. Salah satu antaranya ialah lahirnya binatang ‘dabbatul ardh’ ini yang keadaannya hanya Allah yang mengetahuinya.
Dalam kitab Huru-Hara Hari Kiamat oleh Ibn Katsir menyebut: Menurut Ibnu Abbas, Hasan dan Qatadah, binatang itu memang benar-benar berbicara dengan manusia.
Pendapat ini disokong oleh Ibnu Jarir bahawa binatang itu memang berbicara kepada mereka, yakni mengatakan: “Sesungguhnya manusia dahulu tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.”
Agaknya Ibnu Jarir menceritakan pula tafsiran sama daripada Atha’ dan Ali. Namun, benarkah kedua-duanya mengatakan seperti itu, masih perlu pengkajian.
Sementara itu ada riwayat daripada Ibnu Abbas bahawa kata-kata ‘binatang itu berbicara dengan manusia’ maksudnya binatang itu menceritakan identiti mereka, yakni menulis pada dahi orang kafir dengan perkataan kafir dan pada dahi orang Mukmin dengan perkataan Mukmin.
Ada pula riwayat Ibnu Abbas bahawa maksudnya, binatang itu berbicara dengan manusia dan menceritakan identiti mereka masing-masing. Tafsir yang terakhir ini mencukupi dua pendapat berkenaan. Ini tentu saja adalah tafsir yang kuat dan baik, kerana memuatkan kedua-duanya. Allah jualah yang lebih tahu.