Manusia terdiri daripada dua golongan. Segolongan mendapat petunjuk dan segolongan lagi sesat. Golongan mendapat petunjuk adalah mereka yang beruntung manakala golongan sesat pastinya rugi. Ia suatu hakikat nyata.
Perkara ini seperti ditegaskan Allah pada surah al-A’raf, ayat 178 bermaksud: “Sesiapa diberi petunjuk oleh Allah maka dialah yang beroleh petunjuk dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, merekalah orang yang rugi.”
Dalam kalangan manusia bukan sedikit mereka yang sesat, tersesat dan menyesatkan. Sesat di hutan atau bukit-bukau masih boleh dicari dan dijumpai, tetapi bagaimana jika sesat dalam mengenal Tuhan?
Hakikatnya, ramai orang keliru kerana menyangka diri tidak sesat. Segala dakwaan disangkal sedangkan dasar hidup tidak berteraskan kepada perintah-Nya.
Firman-Nya dalam surah al-A’raf, ayat 30 bermaksud: “Sebahagian (daripada umat manusia) diberi petunjuk oleh Allah; dan sebahagian lagi berhaklah mereka ditimpa kesesatan, sesungguhnya mereka menjadikan syaitan itu pemimpin selain Allah. Dan mereka menyangka mereka mendapat petunjuk hidayah.”
Kesesatan adalah suatu kecelakaan. Walaupun permulaannya mungkin kelihatan manis dan diserikan dengan tawa, namun kesudahannya adalah kekecewaan dan penyesalan.
“Sesungguhnya hamba-Ku, tidaklah ada bagimu kuasa untuk menyesatkan mereka kecuali sesiapa yang menurutmu daripada orang yang sesat. Dan sesungguhnya neraka jahanam itu tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutmu.” (Surah al-Hijr, ayat 42 dan 43)
Jika takut ancaman itu, sentiasalah berwaspada. Ingatlah musuh paling utama yang menyesatkan adalah iblis dan syaitan.
Firman-Nya dalam surah an-Nisa, ayat 60 bermaksud: “…dan syaitan hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan sejauh-jauhnya.”
Ayat 82 daripada surah Shaad menerangkan: “Iblis berkata: ‘Demi kuat kuasa-Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya.’”
Iblis licik menyesatkan manusia. Ia datang pada setiap waktu dan penjuru; dari depan, belakang, kiri dan kanan.
Ia mampu masuk ke dalam tubuh manusia, berjalan di dalamnya seperti berjalannya darah. Boleh bersembunyi di hati, bertempat di akal dan bertakhta di seluruh anggota tubuh.
Apabila berada di hati, orang menjadi waswas, ragu dan bimbang dalam kebenaran, memandang baik kepada perkara salah, berasa senang dengan keburukan dan bencikan kebenaran.
Begitu juga apabila berada di akal, manusia ingin mengejar keuntungan sendiri, menjatuhkan dan membinasakan orang lain tanpa kasihan, mengisyaratkan agar apa pun yang diperoleh untuk kehancuran.
Apabila berada di mata, senang melihat kemaksiatan, memberikan keterangan palsu dan menjauhkan kebenaran. Demikian juga apabila berada di telinga, akan berusaha mendengar yang buruk untuk disebarkan, mencari fitnah untuk disiarkan. Begitulah seterusnya, selalu cenderung ke arah kesesatan.
Sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Sesungguhnya syaitan (iblis) berjalan pada manusia di pembuluh darah (semua yang boleh dilalui darah).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ternyata, dalam mentaati Allah terlalu banyak godaan dan tipu daya perlu kita lalui.
Namun, jangan sampai kita termakan pujuk rayu syaitan dan ikut sama tersesat bersamanya.
Perangi syaitan dan tewaskanlah kerana ia musuh nyata.
Dalam Minhajul Abidin, karangan Imam al-Ghazali diterangkan, menurut pendapat ulama, untuk memerangi dan menewaskan syaitan ada tiga cara, iaitu:
1. Mengetahui segala tipu daya syaitan sehingga ia tidak berani mengganggu kita. Keadaannya ibarat tikus, jika ia tahu tuan rumah mengetahui kewujudannya, ia akan melarikan diri.
2. Anggaplah ajakan syaitan sebagai suatu perkara remeh iaitu jangan memberi sebarang perhatian dan jangan mempedulikannya. Jangan sesekali mengambil hati terhadap ajakannya apatah lagi menurutinya. Ini kerana syaitan ibarat anjing yang menggonggong dan jika dilayan ia akan terus menggonggong. Tapi jika dibiarkan, ia akan diam dengan sendirinya.
3. Berzikir dengan lisan mahupun hati
Sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Sesungguhnya zikrullah itu menyakitkan syaitan seperti menderitanya anak Adam dengan penyakit pemakanan yang bersarang di perutnya.”