Carilah harta namun jangan sampai memudaratkan anda

Mungkin ramai yang tidak mahu ketinggalan untuk berada dalam kelompok itu.

Namun sebelum itu pernahkah terlintas di fikiran kita, apakah ada insan yang sudi berkongsi rahsia kejayaannya menjana wang berganda-ganda secara percuma atau sudahkah mereka benar-benar menjadi orang kaya?

Hari ini, sesetengah orang bekerja siang dan malam untuk mencari wang lebih, terutama mereka yang tinggal di kota. Dengan wang itulah mereka membesarkan anak tanpa ada keluhan, membeli kereta dan rumah, membantu ibu bapa, adik-beradik dan menghulurkan sedikit kepada golongan memerlukan termasuklah kepada tabung masjid. Mereka cuba membina hidup yang sempurna.

Wang memang berguna. Apabila berwang, kita tidak meminta-minta. Bahkan, menumpang hidup di tengah khalayak yang mementingkan wang semata-mata, kita akan disanjung dan dimuliakan dengan tidak semena-mena.

Malah, banyak pihak mengatakan dengan wang juga tuntutan agama dapat disempurnakan tanpa cacat cela, contohnya untuk bersedekah, mengerjakan haji mahupun umrah. Soal mereka, bagaimana untuk melakukan ibadat itu sekiranya tiada wang?

Tidak dinafikan, sememangnya wang diperlukan, lebih-lebih lagi mendepani realiti yang menyaksikan segala benda perlu dibayar, termasuklah penggunaan air untuk mengambil wuduk sebelum menunaikan solat, masuk tandas, buang sampah dan lain-lain yang kelihatan remeh, tapi menggunakan wang.

Bagaimanapun, wang bukanlah segala-galanya. Malah, ia tidak pernah menjadikan manusia bahagia.

Hal ini diakui sendiri dalam kalangan orang Barat. Namun mereka tetap terus bermaharajalela dengan wang, memuja-muja, sehingga sesetengah orang Islam jadi keliru, terpinga-pingga, maka selangkah demi selangkah mengikut jejak mereka, manakala jejak nabi ditinggalkan — jika hendak diibaratkan seolah-olah tertimbus oleh pasir di gurun kerana ditiup angin.

Kerap kali wang membuatkan manusia lupa diri dan buta mata hati sehingga membelakangkan prinsip agama dan nilai kemanusiaan, melainkan mereka yang utuh imannya. Namun berapa ramai mereka yang sebegitu?

Justeru dalam kita mengerah daya dan upaya, mengejar waktu mencari harta, jangan sampai membuatkan hidup kita jadi sengsara iaitu apabila kita dipandu oleh wang ataupun menjadi hamba kepadanya.

Kita berbeza dengan golongan berfahaman kebendaan yang mengagungkan dunia ini, memuja keseronokan dan mendakwa kejayaan kebendaan adalah nilai tertinggi dalam kehidupan.

Bagi kita, dunia ini adalah permainan dan tempat ujian. Jadi, pastikan kita tidak berada dalam pelukannya, kelak sukar meloloskan diri kerana lemas dalam keseronokan nan mengasyikkan.

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak…” (Maksud ayat 20, surah al-Hadid)

Muaz bin Jabal berkata, apabila Rasulullah menghantar beliau ke Yaman, Baginda bersabda, (mafhumnya): “Berhati-hatilah terhadap kehidupan yang mewah, sebagai hamba Allah, janganlah kamu hidup dalam kemewahan.”

Marilah kita sama-sama memupuk keimanan dan bangkit daripada kelalaian. Kita berusaha dan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan harta buat kelangsungan hidup tapi tidaklah sampai jatuh cinta kepada harta (iaitu dalam erti kata tidak asyik dengan harta-benda, menjulang dan memuja-mujanya, bukannya tidak sayang harta dimiliki sehingga tidak menjaganya dengan baik — fahami elok-elok, jangan tersalah faham).

Kita seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat demi kesejahteraan kedua-duanya.

Kejayaan kita ataupun sebaliknya bergantung kepada sama ada kita mengabdikan diri sebagai hamba kepada-Nya atau menjalani kehidupan yang (dikatakan) bebas tanpa ada sebarang rasa hormat kepada-Nya.

Adalah sangat baik jika kita teliti sikap terpuji junjungan mulia Rasulullah SAW yang tidak mendambakan kekayaan harta benda walaupun bertemu dengan kesempatan.

Baginda dan ahli keluarga tetap mengutamakan kehidupan secara sederhana.

Hal ini sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Umamah, sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Allah berhajat untuk menukarkan lembah Makkah menjadi emas untukku, tetapi aku menjawab: ‘Tidak Tuhanku! Biarkanlah aku mempunyai cukup makan untuk satu hari dan berlapar pada keesokan harinya.

“Apabila aku lapar, aku akan berserah diri dan mengingati-Mu dan apabila aku kenyang, aku akan bersyukur dan memuji-Mu.’”