Sepi! Tiada lagi riuh-rendah gelak tawa. Tiada yang merengek.
Rata-rata sudah pulang ke kota, mula bekerja dan belajar di perantauan. Jika ada tinggalan sekalipun cuma kuih-muih yang tidak habis dimakan ataupun kesan tayar kereta di halaman rumah.
Begitulah secara ringkas gambaran suasana selepas hari raya di kampung atau desa. Kita sekali lagi meninggalkan ibu bapa, datuk, nenek dan saudara-mara selepas beberapa hari beraya dengan mereka.
Sesetengah orang tua kita terutama yang sudah hilang kudrat, bahkan hendak berdiri pun tidak larat mungkin kembali termenung seorang diri di muka pintu. Tiada sesiapa untuk diajak berbicara. Hilang semua ceria seperti terbang dibawa angin.
Cuba bayangkan kita yang muda di tempat mereka, berjumpa dengan anak cucu sekali-sekala atau setahun sekali pada hari raya.
SURUHAN TUHAN
Dalam al-Quran kita temui beberapa ayat menekankan perintah berbuat baik ataupun berbakti kepada orang tua, antaranya pada surah al-Isra, ayat 23 bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya kamu tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa…”
Firman-Nya pada surah al-Ankabut, ayat 8 bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua orang tuanya…”
Kemudian, pada surah Luqman, ayat 15 yang antara lain menerangkan: “Dan bergaullah dengan kedua-duanya di dunia dengan cara yang baik.”
HAK PALING UTAMA
Bagi seorang anak, berbakti kepada orang tua adalah hak yang sangat penting untuk diambil berat lebih-lebih lagi apabila mereka sudah lanjut usia. Ia tidak terbatas kepada beberapa perkara, sebaliknya meliputi banyak aspek.
Contohnya, sewaktu berjauhan selalu bertanya khabar dan menjenguk mereka. Jangan tunggu sewaktu hari raya saja.
Apabila tiada barang keperluan dapur, kita segera belikannya. Pandang pada perabot atau rumah didiami mereka makin uzur, fikirlah apa yang patut. Berbincanglah sesama adik-beradik. Takkanlah tak mampu sedangkan kereta bersusun-susun di depan rumah.
Usahlah berkira. Orang tua kita dulu tidak pernah berkira membesarkan kita. Mereka sanggup berlapar, bahkan rela tidak berpakaian baharu kerana mahu lihat anaknya gembira beraya. Bila lagi kita hendak mengambil hati dan membuatkan mereka berasa gembira dengan kita?
PENGORBANAN YANG TIDAK TERBALAS
Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Pendidikan Anak Dalam Islam menyebut, Ibnu Katsir dalam tafsirnya meriwayatkan daripada Sulaiman bin Buraidah daripada ayahnya: Bahawa seorang lelaki ketika melakukan tawaf mendukung ibunya. Dia bertawaf dengannya.
Maka, dia bertanya Rasulullah SAW: “Adakah saya telah menunaikan hak ibu saya?”
Jawab Baginda: “Tidak walau sekali derita pun.” Maksudnya derita pada waktu mengandung dan melahirkan.
Disebutkan juga ada seorang lelaki menemui seorang Badwi mendukung ibunya ketika bertawaf, sedangkan dia mengungkapkan syair ini:
Aku menjadi tunggangannya, aku tidak takut
Jika semua unta lari, aku tetap tidak akan lari
Masa dia mengandung dan menyusukanku adalah lebih berat
Allah Tuhanku Yang Empunya Kebesaran lagi Maha Tinggi
Kemudian, orang Badwi itu menoleh kepada Ibnu Abbas dan bertanya: “Apa pendapatmu, adakah aku sudah menunaikan haknya?”
Jawab Ibnu Abbas: “Tidak! Demi Allah walaupun satu pusingan dari pusingan-pusingan yang dideritainya.”