KUALA TERENGGANU — Bekas guru besar sebuah sekolah rendah di daerah Marang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 15 pertuduhan bersubahat menipu dan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan pembekalan makanan asrama dan kontrak pembersihan berjumlah keseluruhan RM500,318.
Tertuduh, Zalina Bidin, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Berdasarkan 12 pertuduhan, tertuduh bersubahat bersama pembantu tadbir kanan dan ejen sebuah syarikat menipu dengan mengemukakan dokumen palsu hingga menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Merchang menyerahkan 12 keping cek dengan nilaian keseluruhan mencecah setengah juta ringgit.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Oktober 2022 hingga 20 Februari 2023.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 akta yang sama.
Sementara itu, tertuduh turut berdepan dengan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 28(1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia2009 (694) dan dibaca bersama Seksyen 18 akta yang sama.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan mengemukakan borang pengesahan bilangan pekerja dan rekod kehadiran pekerja kebersihan yang mengandungi butiran mantan palsu bagi menuntut pembayaran gaji pekerja kebersihan sedangkan pekerja tersebut tidak pernah hadir bekerja.
Wanita berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai hingga September 2022 di sekolah yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 17 Februari ini untuk serahan dokumen.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan, menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah dan diarah melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Maziah Mohaide manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.
BH ONLINE