Manfaat usia muda untuk aktiviti berfaedah

Manusia melalui fasa keemasan iaitu usia muda. Ketika itu kecerdasan fikiran dan kecergasan fizikal berada pada tahap optimum. Lidah petah berbicara dan kaki panjang langkahnya. Segak dan ayu juga sangat terserlah.

Namun, sayangnya muda hanya sekali dan cuma sebentar. Selepas itu masing-masing menjangkau ke usia dewasa ataupun tua.

Rambut makin putih, kulit mula berkedut dan tenaga makin menyusut. Badan tidak lagi sekuat dulu dan lambat dalam tindakan.

Begitulah senarionya yang boleh digambarkan. Disebabkan muda hanya sekali, jadi ada yang beranggapan waktu itulah digunakan untuk berseronok sepuas-puasnya. Kecantikan paras rupa, kebendaan dan kemewahan harta dipuja-puja.

Hidup mereka hanyut dalam dunia khayalan ciptaan sendiri. Mereka leka dengan permainan dan hiburan, lebih-lebih lagi mutakhir ini sebahagian besar keseronokan boleh dicapai dengan mudah melalui media sosial.

Belum dikira lagi mereka yang terbuai-buai dengan nafsu membuak-buak. Kotak fikirannya penuh dengan naluri seksual. Lain dipandang dan dituturkan, lain yang difikirkan. Begitulah dunia lakarannya, selagi tidak diperbetulkan.

Golongan yang mementingkan keseronokan ini juga ada yang sampai mabuk dengan minuman keras dan khayal dengan ganja. Mereka buta dalam menilai akhlak mulia. Mereka merosakkan diri sendiri dan mensia-siakan usia.

Malah apabila terbabit dalam penagihan seperti itu, kelakuan mereka berubah kepada tingkah laku buruk seperti suka berdusta, pengecut dan tiada adab. Malah, melakukan apa-apa dengan sesuka hati dan tidak mempunyai perasaan terhadap tugas wajib.

Abdullah Nasih Ulwan dalam karyanya berjudul Tarbiyatul Aulad fil Islam menegaskan hukum Islam pada mengambil benda yang memabukkan dan merosakkan otak sudah tetap haram dengan ijmak sekalian ulama dan yang demikian itu dengan dalil berikut:

Ayat 90 dan 91 surah al-Maidah bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah adalah perbuatan keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

“Sesungguhnya syaitan itu berkehendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?”

Sabda Nabi SAW diriwayatkan Imam Ahmad dan Abu Daud dengan sanad sahih daripada Ummu Salamah, isteri Nabi: “Rasulullah SAW melarang daripada segala yang memabukkan dan segala yang melesukan.”

Jelas Abdullah, benda yang mencederakan otak seperti ganja, pil, gam dan sebagainya termasuk dalam larangan Nabi SAW kerana semua benda itu melesukan.

Justeru tiada alasan untuk mempertikaikan hakikat ini.

Sepatutnya apabila mengetahui muda hanya sekali, kita menggunakan waktu keemasan itu untuk melakukan kebaikan, sama ada untuk diri sendiri, orang tua dan keluarga, mahupun masyarakat dan negara. Namun, berapa ramai yang sedar hakikat ini?

Kita harus sedar bahawa sejarah pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia 18 tahun memimpin tentera menyerang kerajaan Rom. Muhammad al-Fateh pula membuka Kota Istanbul ketika usia beliau 21 tahun.

Seorang alim, Hatim al-A’sham berkata: “Empat perkara tidak diketahui nilainya melainkan oleh empat; orang muda nilainya hanya diketahui oleh orang tua, kebahagiaan nilainya hanya diketahui orang ditimpa bencana, kesihatan diketahui orang sakit dan kehidupan diketahui orang mati.”