Ketika manusia mengutamakan kehidupan duniawi dan mengesampingkan tuntutan ukhrawi, kita dapat saksikan betapa nilai mulia seperti kasih sayang semakin terhakis. Cuba perhatikan dalam kehidupan kita seharian, dari sudut mana kasih sayang kita?
Apabila bercakap, asyik hendak mengata, mengada-adakan cerita dan mencari keburukan sesama saudara. Apabila bertemu, dari awal lagi bermasam muka kerana tersimpan dendam dan marah.
Satu hadis daripada Abu Dzar RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Janganlah kamu meremehkan suatu kebaikan, meskipun dengan bermanis muka kepada saudaramu ketika bertemu.” (Riwayat Muslim)
Dalam kehidupan berkeluarga, sesetengah lelaki banyak menghabiskan waktu di luar rumah. Mereka selalu meninggalkan anak dan isteri. Alasan diberi sibuk bekerja, walaupun sesetengahnya banyak waktu dihabiskan untuk perkara sia-sia.
Mereka jarang mengambil tahu hal rumah tangga, kerana menganggapnya suatu yang remeh. Kadang-kadang anak menjadi lemah semangat ataupun fobia kerana diherdik tidak semena-mena. Bukan main bengis terhadap anak sendiri.
Sepatutnya, kita sebagai ketua keluarga memupuk dan menyuburkan benih kasih sayang. Namun, dukacitanya disebabkan ego dan jahil kita, kasih sayang entah ke mana. Mungkin sebab itulah ada anak yang tidak kenal erti kasih sayang, tidak tahu menghormati orang lain.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis; daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Nabi SAW pernah mencium Hasan bin Ali radiallahu anhuma.
“Al-Aqra bin Habis pun berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.”
Hadis berkenaan menjelaskan sunah mencium anak sebagai bentuk kasih sayang. Kita sebagai bapa, cuba tanya pada diri sendiri, berapa kali kita mencium anak sendiri dan bagaimana layanan kita terhadap mereka?
Seterusnya, pertanyaan yang baik iaitu bertanya dengan cara baik, sopan dan tawaduk kepada ulama atau guru terutama disifatkan sebagai separuh ilmu. Hal ini kerana ilmu dapat diperoleh dengan bertanya.
Bertanyalah, tetapi dengan beradab dan bukan bertujuan menjatuhkan maruah seseorang. Dan jangan pula banyak bertanya, tetapi satu pun tidak mahu diamalkan.
Contohnya, bertanya mengapa perlu solat dan menutup aurat namun selepas mengetahui kewajipan dan keutamaannya, kita tidak juga mahu mentaatinya.
Dalam hal ini, kita wajar mengambil peringatan dengan sabda Nabi SAW, mafhumnya: “Biarkanlah apa yang tidak saya jelaskan pada kalian kerana sesungguhnya yang menyebabkan kebinasaan umat-umat sebelum kalian ialah mereka terlalu banyak bertanya dan menyalahi nabi-nabi mereka.
“Oleh kerana itu, jika saya melarang kamu akan sesuatu, maka jauhilah itu dan jika saya memerintah kamu melakukan sesuatu, maka lakukanlah sekadar kemampuan kamu.” (Sahih Bukhari dan Muslim)
Menurut huraian dalam Riyadus Solihin dan Penjelasannya, hadis berkenaan menunjukkan adanya kemakruhan (tidak digalakkan) banyak bertanya tanpa ada perlunya. Imam Malik berkata: “Membantah dan berdebat dapat menghilangkan cahaya ilmu daripada hati seseorang.”
Kemudian, pengurusan cekap dan baik dalam segala sesuatu adalah separuh daripada kejayaan seseorang dalam menjalani tugasan hidupnya, tidak kira dalam apa jua lapangan diceburi.
Bekerjalah dengan penuh komitmen. Jauhi perbuatan khianat, menipu, mengampu dan menzalimi yang lain. Manfaatkanlah kepandaian dikurniakan Tuhan dengan sebaik-baiknya.