4 perkara buat kamu lemas dalam pelukannya

1. NAFSU

Ini adalah asas kepada semua masalah. Umumnya nafsu mendorong manusia untuk segala-galanya. Sebab nafsu, manusia boleh bersengkang mata dari malam hingga fajar, berhimpit ke konsert dan stadium. Apabila sudah asyik dan berada dalam pelukannya, atau jatuh dalam keloknya, manusia sanggup melakukan apa-apa saja – sanggup bersusah payah, berkorban demi nafsu malah bertindak di luar batasan – hanya kerana nafsu. Nafsu, apabila dituruti segala kehendaknya, buat tuan menjadi hamba — ikut apa saja kehendaknya, perlakuannya dan ke mana saja tempatnya – seperti keldai mengikut tuannya – manusia jadi keldai, nafsu jadi tuan. Cerdik atau tidak, kamu fikirlah sendiri. Ketika mana sudah di pelukannya, dalam erti kata dua jiwa menjadi satu, yang susah terasa senang, sakit dirasakan seperti tiada apa-apa, hodoh dipandang cantik, busuk dikatakan wangi, hina dikatakan mulia, manakala jahat atau cela, dikatakan baik dan terpuji – dalam apa-apa hal. Begitulah gambarannya.

2. WANG

Ini juga hal yang besar – saling berkait dengan nafsu. Dalam dunia hari ini menggunakan wang dan memerlukan wang. Ada wang, semua perkara menjadi kenyataan. Kadang-kadang benda tak diperlukan pun dibeli, sebab ada wang – seronok berbelanja agaknya. Kepala jadi pusing, duduk tak senang, apabila tidak membeli. Ramai orang begitu. Kamu bagaimana? Apabila ada wang, kaki berasa ringan saja nak melangkah, pandang sana-sini, cari sana, cari sini, semua barang nak dipandang – rugi katanya, kalau tak pandang, bimbang terlepas…eh itu cantiklah, eh itu lagi cantik…harga mahal lagi suka, sebab ada ‘class’ – bergaya! Hum…ragam manusia…beragam!

3. MANIS

Manis, semua orang suka. Orang berwajah manis disukai ramai, senang didekati — kadang-kadang orang tak dikenali (orang asing) pun boleh senyum atau menegur sosok yang punya raut wajah yang manis. Lelaki atau perempuan. Dan kalau perempuan, lagi senang orang asing senyum padanya. Manis pada raut wajah tidaklah mengapa, tetapi manis pada minuman, makanan, tidak digalakkan. Gula memainkan peranan penting dalam minuman dan makanan. Tanpa gula, buat minuman jadi tawar, hambar atau pahit. Orang meminum minuman, berasa ‘kaw’ atau ‘oh yes’ enak, kerana ada manisnya. Cuba, dihidangkan tanpa gula…pasti rasa sekali dua, terus tak nak minum. Perokok gemar kepada minuman manis, sebab jika tidak, asap disedutnya berasa pahit atau ‘payau’. Betul tak betul?

4. NIKOTIN

Benda ini biasanya ada dalam rokok. Tanpa nikotin, buat rokok jadi hambar – bak kata orang, tak sedap langsung. 

Hari-hari orang menghisap rokok atau vape, kerana ada nikotinnya. Ia buat orang mencari-carinya…nak lagi, nak lagi. Sebab nikotin, maka penjual dapat menjual rokok dibuatnya setiap hari, ada saja pembelinya. Tanpanya, rasa-rasa tiada orang beli pun. Itulah ramuan mujarab pembuat rokok untuk melariskan dagangannya ke serata dunia.

Tetapi sebelum itu, nak tanya…antara asap rokok dan asap kenderaan seperti kereta, lori, bas, trak dan motosikal yang kamu guna setiap hari, yang kamu buat bodoh saja walaupun asap berkepul-kepul keluar terutama ekzos sudah rosak, kenderaan diesel, bahkan ketika menunggu di parkir, tak matikan enjin, kerana harga petrol atau diesel yang murah, sedangkan asap terus saja keluar – mana lebih berbahaya sebenarnya? Fikir biar betul, cakap biar jujur. Kamu, ya kamu, terutama pembuat dasar, berjawatan besar, selalu mengatakan asap rokok berbahaya, tetapi cuba kamu bandingkan dengan asap kenderaan…yang mana sebenarnya lebih bahaya? Jika kamu mengatakan asap kenderaan lebih bahaya, mengapa takut kepada perokok lebih teruk daripada takut kepada asap kenderaan? Mengapa tidak bercakap atau melontarkan sesuatu isu itu secara seimbang?