10 maut dalam nahas pesawat Colombia

BOGOTA – Sekurang-kurangnya 10 orang maut selepas sebuah pesawat kecil terhempas di barat laut Colombia, pihak berkuasa mengesahkan pada Jumaat.

Pesawat itu, dikendalikan Pacifica Travel, dilaporkan hilang pada Rabu dalam perjalanan dari Jurado ke Medellin dan terhempas di kawasan luar bandar Urrao, sebuah perbandaran di jabatan Antioquia di barat laut Colombia. Dua kru dan lapan penumpang berada dalam pesawat ketika itu.

“Malangnya, tiada mangsa terselamat. Kami mempunyai 37 kakitangan yang bekerja di tapak itu, dan kami sedang mempercepatkan peringkat kedua, yang melibatkan pemulihan mayat dan penyelarasan dengan polis kehakiman,” kata Carlos Rios Puerta, pengarah jabatan pengurusan risiko Antioquia.

Keadaan cuaca buruk, katanya, menyukarkan proses pemulihan, kerana ia mesti dilakukan di darat tanpa sokongan helikopter.

“Kami sedang berusaha untuk memastikan proses ini pantas dan efisien seboleh-bolehnya,” tambahnya.

Pacifica Travel mengeluarkan kenyataan menyatakan komitmennya untuk menyokong keluarga mangsa.

“Kami akan bersama mereka pada setiap masa, memberikan bantuan dan memenuhi setiap keperluan yang timbul daripada peristiwa tragis ini.”

Kementerian pengangkutan dan pihak berkuasa penerbangan awam juga mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, yang telah berkumpul di lapangan terbang Medellin.
Pihak berkuasa penerbangan awam telah melancarkan siasatan untuk menentukan punca nahas.

XINHUA