Orang Islam hendaklah menutup aurat. Amalan itu sesuai dengan fitrah manusia, sekali gus meraikan kedudukannya yang mulia.
Dengan menutup aurat, maruah terpelihara manakala keselamatan lebih terjaga dan tertutup satu pintu fitnah.
Al-Quran menegaskan (maksudnya): “Dan katakanlah kepada perempuan beriman agar menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan yang zahir daripadanya.
“Dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak mereka atau anak tiri mereka…” (Surah an-Nur, ayat 31)
Syeikh Dr Yusuf al-Qardawi berkata, Islam mengharamkan wanita memakai pakaian ketat yang boleh menampakkan bentuk badan atau nipis yang boleh menampakkan apa di sebalik pakaian itu ataupun pakaian menelanjangkan hampir setengah badan.
Beliau memetik hadis sahih riwayat Muslim, daripada Abu Hurairah, katanya, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Ada dua golongan daripada ahli neraka yang aku belum pernah melihat mereka iaitu suatu kaum yang membawa cambuk seperti ekor lembu, mereka memukul orang dengannya (iaitu penguasa yang kejam) dan wanita berpakaian separuh bogel yang menarik orang melakukan maksiat di samping dia sendiri melakukan maksiat pula.
“Kepalanya meninggi lonjong seperti bonjol unta. Mereka ini tidak dapat memasuki syurga, tidak dapat mencium syurga, padahal bau syurga itu dapat dicium dari jauh perjalanan sekian dan sekian.”
Al-Qardawi menghuraikan hadis berkenaan: “Dikatakan kepadanya berpakaian bogel kerana pakaian dipakainya tidak berfungsi menutup tubuhnya kerana terlalu nipis dan jarang sehingga pakaian itu menampakkan bentuk tubuh di sebaliknya seperti kebanyakan pakaian wanita pada zaman ini.
“Bonjol unta adalah tulang tinggi di tengkuknya yang diserupakan kepala wanita itu dengan bonjol berkenaan kerana ditinggikan rambutnya ke atas kepala.
“Seolah-olah Rasulullah sudah melihat di alam ghaib apa yang akan berlaku pada zaman ini apabila dikhususkan tempat istimewa yang dikenali dengan nama salun rambut.”
Kalangan ulama Islam bersetuju yang wanita seharusnya berpenampilan dan berpakaian tidak menarik perhatian seksual kepada dirinya apabila berada dengan seseorang berlainan jantina.
Sesetengah ulama pula memperincikan bahagian yang perlu ditutupi iaitu semua tubuh melainkan muka dan tangan.
Malah, ulama lain mengatakan semuanya perlu ditutup melainkan mata, menggunakan kain seperti ‘chador’ (hijab labuh) atau ‘burqa’ (pakaian labuh bertutup semua badan melainkan mata).
Hari ini ‘berpakaian bogel’ menjadi suatu fesyen yang diperagakan. Lagi tiada pakaian, lagi hebat, contohnya — mendapat tontonan memukau. Tiada yang menentang.
Pemakaian hijab atau tudung pula dipandang sinis, terutama di negara Barat, malah pelajar sekolah dilarang berhijab dengan alasan bertentangan dengan undang-undang sekular atau mempromosikan keagamaan (seperti dibaca dalam paparan media). Maka, orang-orang Islam yang tinggal di sana bergelut dalam mempraktikkan ajaran atau nilai-nilai agama.
Justeru, anda yang mendiami di negara yang meraikan kemanusiaan, memberikan kebebasan untuk mempraktikkan nilai keagamaan, maka bersyukurlah.