Soalan ini kadang-kadang terpacul keluar, apabila mendapati laporan mangsa kekejaman Israel di Gaza terus meningkat. Tangisan mereka nampaknya tidak didengari orang muslim di luar sana. Mengapa?
Tertanya-tanya, di mana umat muslim, di mana kumpulan muslim, di mana pejuang muslim, di mana mereka yang bergelar ulama dan cerdik pandai?
Apakah mereka tahu cakap sahaja di pentas mengenai jihad, mengenai tolong-menolong, mengenai solidariti dan persaudaraan? Apabila sampai tahap bertindak, semua diam, semua hilang entah ke mana.
Adakah ini wajah orang muslim hari ini, ramai sehingga memenuhi setiap penjuru dunia, tetapi impak seperti golongan minoriti – umpama buih-buih di lautan dilambung ombak, satu-persatu hilang atau lenyap.
Kamu lihat, Israel walaupun negaranya kecil, mereka mendapat bantuan daripada kerabat sekeliling mereka seperti Amerika Syarikat, Britain.
Umpama orang berbadan kecil, tetapi apabila mendapat sokongan daripada kerabat dan sahabat membuatkan orang lain jadi gerun. Tak begitu?
Sebenarnya orang muslim hari ini semacamnya seperti apa — asyik dengan hiburan melalaikan, asyik dengan memuja dan mendewa-dewakan produk dan pencapaian Barat, asyik dalam keselesaan, membilang-bilang harta kekayaan terkumpul, asyik berbalah sesama sendiri hingga berbunuh-bunuhan, berebut pangkat dan kuasa, terperangkap dalam teori, dan sistem dunia rekaan Barat yang meninggalkan agama, melupakan manusiawi dan mendewa-dewakan dunia dalam sifir ciptaan siapa cepat, siapa kuat, dia yang dapat?
Atau bagaimana anda fikir?