Suatu ketika, saya memandu di suatu jalan dekat sebuah sekolah, di sebuah pekan di Malaysia. Sambil memandu tu, maka saya terpandang sekumpulan pelajar di luar sekolah, dekat persekitaran garaj jual kereta.
Dan dalam kumpulan itu, saya terpandang pelajar yang paling kecil dalam kalangan mereka.
Dengan berseragam sekolah, pelajar yang kecil itu bersama sebatang rokok di tangan. Konon dalam yang ramai tu, dialah agaknya ‘hero’.
Maka, terdetik pada hati, ‘alahai, jari dengan rokok, lebih besar lagi rokok’.
Begitulah sepintas lalu, gejala buruk dalam kalangan pelajar. Wang saku yang diberikan ibu bapa untuk buat belajar, disalah guna untuk rokok misalnya.
Jika betul wang diberikan ibu bapa untuk bersekolah disalah guna, ianya suatu tindakan tidak amanah. Apabila tidak amanah, maka ianya dinamakan khianat…khianat terhadap amanah dan kepercayaan ibu bapa.
Eh, tak kesian ke kepada ibu bapa. Apa, kamu ingat senang ke cari duit? Ada ibu bapa, sampai sanggup tak makan, semata-mata mahu tengok anaknya dapat ke sekolah, dapat membeli juadah di kantin sekolah bersama pelajar lain.
Pergi ke sekolah untuk apa…untuk jadi baik kan…untuk jadi cerdik…untuk pandai seperti orang yang pandai, bukan untuk tunjuk lagak, bersikap dengan sikap tidak sewajarnya.
Ada juga pelajar pergi ke sekolah untuk ‘couple’. Kadang-kadang, bukan satu, bahkan dua, tiga…itu awek dia, ini awek dia….huh…semak! Apa nak jadi…matlamat ke sekolah sudah tersasar.
Sepatutnya, peluang dan ruang yang diperoleh untuk belajar itu dimanfaatkan. Di sesetengah tempat, sekolah pun tak ada, pelajar belajar di bawah terik matahari, malahan ada yang tidak mempunyai guru atau disekat daripada menghadiri sekolah seperti di Afghanistan (menurut laporan media). Justeru, kita yang ada sekolah, yang ada guru, masih mampu bersekolah, maka gunakanlah peluang itu sebaik-baiknya. Jagalah disiplin, kita sebagai pelajar buatlah cara nak belajar.