Pernah dengar orang berkata dengan frasa berikut: Ikut nafsu lesu, ikut hati mati?
Selalu orang menanggapinya antara dengar tak dengar kan. Tak ambil kisah atau tak ambil serius, padahal hakikatnya berlaku sebagaimana ungkapan atau frasa itu.
Apa tidaknya, orang ikut nafsu, misalnya dalam penagihan dadah, semua lesu, kan. Tak pernah pandang pada orang menagih dadah? Pandanglah, walaupun mereka bukan orang terpandang…ambil peringatan, buat sempadan. Faham ke tak tu?
Lesu, apabila tak kena…segar, kuat semena-mena jika baru lepas kena…
Waktu tak dapat ‘barang’ tu, cakap pun jadi merapu, perangai entah apa-apa, boleh bertindak yang bukan-bukan. Hati-hati kawan!
Kemudian, ikut hati…mati. Betul, orang yang ikut hati sehingga membunuh orang lain, maka matilah orang itu. Orang itu, mungkin suatu ketika kawan sepermainan, kawan waktu kanak-kanak, kawan sebilik, satu ruang hospital semasa dilahirkan ke, satu kampung, satu asrama, satu rumah ataupun satu katil, pernah tidur, pernah bersatu, pernah bermadu kasih, berasmara ataupun orang itu kekasih pujaan hati yang kerana selisih faham dan ikut keras kepala, sampai sanggup memperlakukan suatu tindakan melayang nyawanya. Mungkin juga orang itu sekadar teman di pinggiran, ibu bapa ataupun orang tak dikenali, tapi kerana ikut hati, diperlakukan sehingga tercabut nyawa dikandung badan.
Kawan, apa apa erti kawan, jika diperlakukan seperti haiwan? Kasih apa erti kasih, jika cekik, humban macam musuh durjana?
Oleh kerana itu, dari masa ke masa, bersihkanlah hati, basuhlah jiwa, sapu noda, lap, sental dengan bersungguh-sungguh. Jangan kerana karat noda yang tanpa disedari dibiarkan merebak, buat diri dan orang lain merana sama. Ingat, hidup cuma sekali, tidak dijual di mana-mana. Canggih macam mana sekalipun teknologi manusia, takkan dapat membuat hidup. Tidak akan ada nyawa buatan Britain, Amerika Syarikat atau Israel, misalnya – takkan bisa. Fikir-fikir!