Buang sifat malas, semat sifat rajin

Ramai manusia lena dalam jaga. Mereka terlena, leka atau lalai dalam banyak perkara, waktu dan keadaan walaupun mereka tahu sikap itulah akan menyebabkan mereka ketinggalan, menanggung rugi dan menyesal.

Dalam hubungan manusia sebagai hamba kepada Pencipta, bukan sedikit yang tidak tahu bersyukur dan beribadat kepada-Nya, padahal mereka berpijak dan berteduh masing-masing di bumi dan di bawah langit ciptaan-Nya.

Mereka mengutamakan kehidupan dunia. Siang dan malam asyik dengan hal berkaitan untung rugi. Nafsu dituruti dan bukan dijauhi. Kehidupan akhirat pula tidak diendahkan, padahal ianya suatu yang pasti.

Kita ambil contoh solat iaitu satu tuntutan ke atas orang beriman, seperti diterangkan dalam surah an-Nisa ayat 103 bermaksud: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Namun disebabkan sikap lalai, sesetengah orang tidak melakukan solat dan kalaupun mengerjakannya pada waktu tertentu saja seperti ketika berasa rajin, selepas disuruh ibu bapa atau segan kepada rakan, segan kepada ketua di tempat kerja ataupun kita sebagai pekerja bawahan hanya melakukan solat bahkan cepat melangkah ke tempat solat sebab segan kepada ketua di tempat kerja – bimbang jika dikatakan sebagai tidak mengerjakan solat, ataupun segan kepada bapa mentua.

Sewaktu diri dicengkam rasa malas, tiada orang disegani di sampingnya, bahkan menipisnya rasa tanggungjawab pada diri, mereka tidak melakukan solat. Mereka meninggalkannya tanpa berasa bersalah.

Padahal solat mengingatkan manusia kepada identitinya yang sebenar iaitu hamba kepada Tuhan. Manusia akan ingat kedudukannya itu dan menyedari bahawa sebagai hamba sudah pasti lemah lagi memerlukan pertolongan daripada-Nya.

Tiada yang dapat memberikan pertolongan dan nikmat sebenarnya melainkan Dia. Sekalipun manusia melihat di dunia ini pada zahirnya ada sebab yang membantu dan memberikan nikmat kepadanya, tetapi pada hakikatnya Allah yang mempermudahkan sebab itu kepadanya.

Dialah Tuhan yang memberikan nikmat kepada manusia. Firman-Nya bermaksud: “Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu, maka adalah ia daripada Allah.” (Surah an-Nahl, ayat 53)

Kemudian, kita perhatikan hubungan manusia dengan pekerjaannya. Orang yang lalai daripada berusaha bersungguh-sungguh yakni tidak serius terhadap pekerjaan, bahkan suka menganggur dan mengelamun akan mendapat kesukaran.

Bayangkan, macam mana orang yang tiada sumber pendapatan hendak makan dan minum? Mereka mungkin menunggu simpati orang dan terpaksa meminta kepada seseorang.

Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, sabda Rasulullah SAW, mafhumnya: “Sungguh, seorang daripada kalian mengumpulkan kayu api, lalu membawa di atas belakangnya, itu lebih baik daripada meminta kepada seseorang, sama ada dia memberi atau tidak.”

Ibrahim Adham (lahir 730 Masihi) iaitu seorang raja Balkh yang kemudian meninggalkan takhtanya kerana mahu menumpukan pengabdiannya kepada Tuhan, diceritakan ketika dia menyendiri di dalam gua, dia keluar juga ke pekan setiap Khamis menjual kayu api.

Dia membeli roti dengan wang diperolehnya. Roti itu kemudian separuh diberikan kepada pengemis dan separuh lagi untuk berbuka puasa. Demikianlah dilakukannya setiap minggu. Lihat, bagaimana hidup seorang raja dan tokoh sufi yang namanya tercatit dalam tinta sejarah!

Mari kita buang sifat malas, kita lupakan angan-angan yang menipu dan kita tinggalkan sembang kosong yang banyak buang masa. Kita tidak harus leka, sebaliknya menjadi orang yang rajin meluru ke jalan kejayaan.