Sayidina Ali RA ada dipetik sebagai berkata: “Sesiapa rindu kepada syurga, segeralah kepada kebaikan. Sesiapa takut neraka, dia berhenti daripada syahwat. Sesiapa yakin pada maut, habislah semua kelazatan atasnya. Dan sesiapa mengetahui dunia, ringanlah dia menanggung sebarang musibah atasnya.”
Mutiara kata itu sangat baik untuk kita fahami dan renungi. Ia mampu membuatkan kita sedar daripada terus dibuai angan-angan, mengikut telunjuk nafsu dan diperdaya pujuk rayu dunia.
Segera kepada kebaikan
Allah berfirman maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang bertakwa.” (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Jika kita ingin mendapatkan syurga dan segala kenikmatannya, kita perlu beramal ibadat dan melakukan apa saja kebaikan. Jangan suka bertangguh dan meremehkannya.
Daripada Abu Dzar, dia berkata: “Nabi SAW bersabda kepadaku: Janganlah kamu meremehkan suatu kebaikan sedikit pun, meskipun hanya sekadar kamu menemui saudaramu dengan raut muka yang berseri-seri.” (Riwayat Muslim)
Meninggalkan kehendak nafsu syahwat
Orang yang takut neraka akan berhenti ataupun meninggalkan nafsu syahwat dan menuju keredaan-Nya. Segala amal perbuatannya di dunia adalah mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya sahaja.
Firman-Nya bermaksud: “Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir. Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat.” (Surah Ali-Imran, ayat 131 dan 132)
Allah melarang kita menurut hawa nafsu, sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Oleh itu, janganlah kamu menurut hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan.” (Surah an-Nisa, ayat 135)
Yakin pada maut, habis kelazatan
Mengenai hal yang pasti ini, banyak nas menerangkan mengenainya, antaranya dalam surah Ali-Imran, ayat 185 bermaksud: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawa pada hari kiamat sahaja akan disempurnakan balasan kamu…”
Demikian juga pada surah al-Anbiya, ayat 35 bermaksud: “Tiap-tiap diri akan merasai mati dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”
Seterusnya, ayat 57 daripada surah al-Ankabut bermaksud: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”
Pandang di sekeliling kita, datuk, nenek dan ibu bapa, bahkan adik-beradik serta teman sekelas dan sepermainan, sesetengahnya sudah tiada. Kita juga apabila tiba waktunya akan meninggalkan dunia ini.
Sedar akan hakikat ini, mengapa kita tidak melakukan persediaan sebaik mungkin?
Tahu dunia, ringan menanggung musibah
Firman-Nya dalam surah al-An’am, ayat 32 bermaksud: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?”
Mengerti akan penegasan Allah dalam nas itu, kita perlu berwaspada dengan dunia. Jangan sampai kita dipancing olehnya sehingga hilang tumpuan kepada akhirat sedangkan kita sentiasa mengharapkan kesenangan dan kebahagiaan di alam sana.