Ar-Razi tokoh falsafah dan perubatan

Ar-Razi adalah seorang tokoh falsafah masyhur pada kurun ketiga Hijrah. Nama sebenarnya ialah Abu Bakar Muhammad bin Zakaria Ar-Razi.

Ada mengatakan beliau dilahirkan pada 236 Hijrah bersamaan 850 Masihi. Sesetengah pendapat mengatakan tarikh kelahiran beliau pada 1 Syaaban 251 Hijrah, bersamaan 28 Ogos 865 Masihi di Ray (dekat Tehran), Iran.

Sikap dan pemikiran beliau dikatakan cenderung kepada pemikiran dan teori ahli falsafah Yunani kuno seperti Plato (lahir pada 428 atau 424 Sebelum Masihi) sehingga mendapat kecaman daripada ahli falsafah Islam.

Beliau memberikan sumbangan sangat besar dalam pelbagai bidang terutama perubatan, sains dan falsafah.

Dalam falsafah, beliau menghuraikan berkenaan logik, metafizik, moral dan kenabian dengan cara rasional dan harmoni.

Di dunia Barat, sarjana Parsi ini dikenali juga sebagai Rhazes.

Razi dalam bahasa Parsi membawa erti dari bandar Ray (juga dieja Rey atau Rai, Parsi silam Ragha, Latin Rhagae) iaitu satu bandar besar suatu ketika dulu terletak berhampiran Tehran, Iran.

Al-Razi seorang berfikiran rasional sepenuhnya, sangat yakin dengan kuasa logik (power of reason), malah diakui rakan dan penulis biografi sebagai seorang yang bebas daripada sebarang prejudis, cekal dan berani mengutarakan pendapat tanpa teragak-agak.

Pada awal kehidupan, beliau dikatakan menjadi seorang tukang emas dan pengurup wang.

Malah, ada mendakwa beliau menjadi pemain seruling ataupun bermain gambus sambil menyanyi, yang kemudian bertukar minatnya dalam muzik kepada kimia.

Pada usia 30 tahun, beliau berhenti daripada melakukan penyelidikan dalam bidang kimia kerana uji kajinya menyebabkan penyakit mata, sekali gus memaksanya mencari ubat dan ahli perubatan bagi menyembuhkan penyakit itu.

Kisah selanjutnya dalam e-book di Google Play Book: Tokoh Muslim Sohor