Suami isteri didakwa perdagang wanita Malaysia ke Yaman

KUALA LUMPUR — Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita tempatan ke Yaman, tahun lalu.

Mohd Azfar Abd Ghafar, 37, dan Khadijah Yusoff, 31, didakwa bersama-sama memperdagangkan tiga wanita berusia 19, 27 dan 38 tahun bagi maksud eksploitasi di sebuah rumah tidak bernombor di Tarim, Yaman, antara 25 Mei 2023 hingga 4 Julai lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antiperdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pasangan berkenaan mengaku tidak bersalah sebelum Timbalan Pendakwa Raya Amir Haniff Ahijman tidak menawarkan jaminan atas alasan kes berkenaan melibatkan tiga mangsa warga tempatan yang dieksploitasi ke luar negara.

“Sekiranya mahkamah mahu mengguna pakai budi bicara untuk menawarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM50,000 bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan,” katanya.

Peguam, Datuk Adnan Seman yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan keluarga mereka tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan hasil sewaan rumah.

“Saya mohon supaya anak guam tidak perlu melaporkan diri di balai polis, memadai syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 16 Disember ini untuk sebutan kes.

BH ONLINE – BERNAMA