Hidup bersama tangisan kerana permainan gila ‘atuk’

Reem Abu Haya, seorang kana-kanak perempuan Palestin yang terselamat daripada serangan Israel yang membunuh seluruh keluarganya, menangis di hospital Nasser, di tengah-tengah konflik Israel-Hamas, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza 13 Ogos 2024. REUTERS/Mohammed Salem

Bayangkan tiga tokoh utama membabitkan Setiausaha Agung Hizbullah Hassan Nasrallah, Ketua Hamas Yehya Sinwar dan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berdiri bersama-sama di depan seorang kanak-kanak, atau sekumpulan kanak-kanak, adakah kanak-kanak terbabit mengenali diri mereka atau hanya sekadar memanggil ‘atuk’…

Ya, ‘atuk’ yang wajahnya tidak serupa, perwatakan tidak sama…mungkinkah kerana nama mereka berbeza? Tetapi bagi kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa, mereka tidak mengenali dengan nama, sebaliknya dengan sosok tubuh dan mimik wajah ke arah mereka, sama ada senyum, muram atau bengis.

Jika senyuman diberikan, mungkin mereka turut senyum dan bergembira, dan jika wajah bengis, mungkin mereka lari atau menangis, atau jika ada yang memberontak dan nakal membaling anak batu ke arah wajah yang bengis itu. Mungkin.

Kanak-kanak meratapi warga Palestin Ismail Nofal, yang terbunuh dalam serangan Israel di kem khemah untuk orang yang dipindahkan, di tengah-tengah konflik Israel-Hamas, di hospital Al Aqsa Martyrs di Deir Al-Balah di tengah Semenanjung Gaza, 4 Ogos 2024. REUTERS /Ramadan Abed

Sosok yang mereka panggil ‘atuk’ itulah yang membuatkan hidup mereka berantakan, hilang nikmat kehidupan, malah belum sempat mengenali dunia, nyawa melayang bak pepasir terpercik dibaling batu. Apa salah mereka? Mengapa mereka dihukum? Mengapa mereka terhukum? Mengapa mereka turut terpalit bersama permainan atuk-atuk semua?

Satu sisi jelas menunjukkan betapa tiada nilainya nyawa dan kehidupan mereka…tiada siapa mahu peduli.

Permainan ‘atuk’ makin menggila…tidak kenal erti kanak-kanak, tidak kenal erti kasihan belas, tidak kenal erti kemanusiaan.

Kanak-kanak meratapi rakyat Palestin yang terbunuh semasa serangan Israel, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan kumpulan Islam Palestin Hamas, di sebuah hospital, di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, 3 November 2023. REUTERS/Mohammed Salem

Kata orang, makin tua, makin menjadi. Sepatutnya, makin tua, makin berbudi, makin berperibadi.

Ya, jika atuk berkeras juga untuk meneruskan permainan, bak kata orang main sampai mati, mainlah di tempat lain, carilah padang lain, bukan bermain di khemah kanak-kanak, bukan bermain di rumah dihuni kanak-kanak dan keluarganya, bukan bermain di sekolah, di lapangan permainan kanak-kanak.

Pergilah main jauh-jauh. Orang bersukan pun bermain di gelanggangnya…orang bergusti di gelanggangnya, bola sepak sukan sohor dunia dimainkan di padangnya, di stadium, bukan main di rumah-rumah, bukan main di khemah-khemah, bukan main di sekolah-sekolah, bukan main di jalan raya. Itu sukan terutama bola sepak, yang jika dimainkan di sekolah, di rumah pun tidak membawa kepada kecederaan ataupun kehilangan nyawa.

Kenderaan tentera Israel mengambil bahagian dalam serbuan, di luar sekolah, di Qabatya, dekat Jenin, di Tebing Barat yang diduduki Israel, 19 September 2024. REUTERS/Raneen Sawafta

Inikan pula bermain senjata api, bermain dengan peluru, bermain dengan bom, peluru berpandu, roket dan sebagainya, yang sememangnya berakhir dengan korban nyawa atau setidak-tidaknya jika bernasib baik mengalami kecederaan, maka mainlah di tempat lain…carilah lapangan lain jika mahu terus bermain. Jangan lagi dibabitkan kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa.

Bukankah anda semua pernah menjadi kanak-kanak, membesar, sehingga bersekolah, menerima pendidikan, berpeluang bergelak tawa, berkesempatan mempunyai keluarga, kenal ibu bapa dan asal keturunan, kerana adanya budi, belas kasihan dan kemanusiaan orang sekeliling anda? Jika tidak, anda tidak akan jadi seperti anda hari ini!