Jangan buat jahat pada siapa yang kamu cintai

Ahli zuhud berkata: “Sesiapa melakukan dosa sambil ketawa, maka Allah akan mencampakkan dia ke dalam neraka dalam keadaan menangis. Dan sesiapa menangis melakukan taat, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dalam keadaan dia ketawa.”

Ahli zuhud ialah orang yang tidak mempedulikan keseronokan dunia. Mereka mengambil bahagian dunia sekadar keperluan yang sederhana.

Maksud pernyataan itu ialah sesiapa melakukan sesuatu dosa dengan ketawa yakni menanggung dosa dengan perasaan gembira atas dosanya itu, maka Allah akan memasukkannya ke dalam neraka dalam keadaan dia menangis.

Sesiapa taat sambil menangis yakni takut kepada Allah (dan menjunjung tinggi perintah-Nya), maka dia akan masuk syurga dengan gembira. Orang seperti ini ada dua kebaikan iaitu kebaikan taat dan kebaikan penyesalan terhadap dosa dilakukan. Demikian nukilan daripada sebuah buku untuk renungan kita bersama.

Kita sebagai manusia biasa tidak terlepas daripada dosa. Namun, ia bukan bermakna kita boleh sewenang-wenangnya melakukan dosa atau merelakan diri terus terjebak dengannya. Kita perlu berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.

Di setiap penjuru dan waktu, pintu dosa mesti kita tutup. Anggota badan seperti tangan, telinga, mata dan mulut, bahkan hati semuanya kena dijaga daripada terjerumus kepada perbuatan dosa.

Jangan cepat berasa selesa dengan satu atau dua amalan ataupun penampilan luaran yang siap berjubah dan berkopiah, tetapi akhlak mengecewakan ataupun pekerjaan dilakukan bercampur antara halal dan haram. Contohnya terbabit penyelewengan, tipu helah, dusta (misalnya sekali cakap begini, sekali cakap begitu…cakap serupa, bohonglah tu) dan penganiayaan.

Kadang-kadang berkopiah putih, bersongkok hitam, berbaju Melayu dan kelihatan suci dan sopan, tetapi jiwa tidak bersih. Sesetengahnya pula bukan main lagi menuduh, buat cerita dan merendah- rendahkan sesama Muslim.

Mutakhir ini, ketika ramai orang berdamping dengan telefon bimbit, mungkin kata-kata tidak banyak keluar daripada bibir, tetapi dari hati terus kepada jari-jemari pantas memuatkan kata-kata. Jaga-jaga!

Oleh kerana itulah Tuhan berfirman maksudnya: “Dan orang-orang yang mengganggu serta menyakiti orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman dengan perkataan atau perbuatan yang tidak tepat dengan sesuatu kesalahan yang dilakukannya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta dan berbuat dosa yang amat nyata.” (Surah al-Ahzab, ayat 58)

Dalam hadis diriwayatkan Muslim, Rasulullah SAW bersabda, mafhumnya: “Cukuplah seseorang dianggap berbuat keburukan apabila dia merendahkan saudaranya sesama Muslim.”

Sayangilah diri kita dengan memelihara diri daripada melakukan dosa. Takutilah dosa dan jangan sesekali menganggapnya suatu yang remeh-temeh.

Dalam satu buku, ada dinyatakan bahawa Abu Muhammad bin Yazid berkata: “Jika dapat jangan berbuat jahat pada siapa yang kamu suka padanya.”

Beliau ditanya: “Apakah orang berbuat jahat terhadap orang yang dicintai?”

Jawabnya: “Ya, dirimu sendiri yang sangat kamu cinta dan sayang kepadanya. Jika kamu berbuat dosa bererti kamu telah berbuat jahat kepadanya.”