Ibn Sina

Seorang ilmuan tersohor ialah Abu Ali Al-Hussain ibn Abdullah ibn Sina yang dikenali Ibn Sina atau di Barat sebagai Avicenna, seorang pakar sains dari Iran yang hidup pada 980 hingga 1037 Masihi.

Beliau berasal daripada keluarga sederhana di Afshana dekat Bukhara (dulu di bawah Dinasti Samani, Empayar Parsi dan kini di Uzbekistan).

Pada usia lima tahun beliau mula mengikuti pelajaran. Pertama dipelajarinya ialah al-Quran, kemudian bahasa dan sastera. Ketekunan dan kecerdasan otak beliau yang luar biasa membolehkannya menghafal al-Quran ketika berusia 10 tahun.

Turut dipelajarinya ilmu tafsir, tasawuf, geometri, logik, matematik, sains, fiqah, perubatan dan fizik. Semua ilmu pengetahuan itu termasuk berkaitan falsafah dikuasainya dalam tempoh singkat.

Beliau mendapat tunjuk ajar daripada bapanya dan beberapa guru lain antaranya Abu Abdullah Natili, Abu Bakar al-Khwarizmi dan Ismail az-Zahid. Di samping itu, beliau belajar sendiri.

Satu bidang yang menurut beliau amat rumit ialah metafizik. Malah, beliau mengakui membaca karya Aristotle berjudul ‘Metaphysics’ sebanyak 40 kali, namun tidak dapat memahami maksud penulisnya.

Tanpa mengenal jemu, beliau terus membaca sehingga menemui tulisan al-Farabi berjudul ‘On The Intentions of Metaphysics’ dan selepas membacanya barulah beliau faham mengenai metafizik.

Begitupun, beliau sangat menonjol dalam bidang perubatan yang dikuasainya dalam tempoh satu setengah tahun. Namanya terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati doktor lain.

Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya, bahkan menenggelamkan beberapa nama doktor pada waktu itu seperti Ali bin Sahlath, Ali bin al-Abbas al-Majusi dan Abu Bakr Muhammad bin Zakaria al-Razi, sehingga beliau diberikan gelaran as-Syeikh ar-Rais (Mahaguru Pertama).

Sebagai doktor, beliau lebih cenderung kepada kaedah pencegahan berbanding penyembuhan, malah selalu menguatkan aspek spiritual dan psikologi pesakit secara serentak dalam rawatan diberikannya.

Menurutnya, aspek seperti suhu, makanan, minuman, bahan buangan, udara, keseimbangan gerak dan fikiran, termasuk tidur dan kerja mempunyai pengaruh terhadap kesihatan seseorang.

Ibn Sina juga sangat aktif menulis, malah pada usia 12 tahun, beliau mulai menulis karya berjudul al-Majmu (Comperedium, Ikhtisar) yang lengkap dengan pelbagai ilmu pengetahuan umum sebelum menyiapkan karya lain.

Ikuti kisah lanjut dalam e-book di Google Play Book: Tokoh Muslim Sohor