10 sebab kamu dibenci?

1. Kamu sombong

Orang sombong tidak didekati masyarakat. Masing-masing menjauhi orang terbabit, tidak kiralah dia berkereta besar, berpakaian cantik ataupun banyak harta. Masyarakat tidak peduli kepadanya. Ada atau tidak ada orang terbabit, tidak dipedulikan masyarakat.

2. Kamu berlagak

Ini juga satu hal. Berlagak dalam pelbagai ragam. Ada yang berlagak dengan pencapaiannya dalam pelajaran, berlagak dengan kemewahan hartanya, berlagak dengan pangkat dan jawatan. “Aku bos, atau kamu bos…” misalnya terpacul daripada mulut seorang ketua di tempat kerja. Orang seperti ini tidak disukai pekerja bawahannya, masing-masing menjauhi diri apabila nampak kelibatnya. 

3. Kamu kedekut

Orang kedekut atau bakhil tidak disukai orang ramai. Orang kedekut sanggup berlapar daripada mengeluarkan duit daripada sakunya. Dia sanggup tunggu orang menawarkan makanan atau minuman percuma kepadanya. Dapat makan free. Hari-hari perangai begitu, orang naik menyampah. Tiada siapa mahu berkawan dengannya. 

4. Kamu perasan cantik, hebat

Ini juga penyakit…perasan dirinya hebat, dirinya tampan, dirinya cantik. “Ya, akulah wanita terhebat.” “Akulah wanita terakhir.” “Akulah tercantik.” Contoh. Orang begini tak siapa suka mendekati. Sebab dia mahu dilayan lebih daripada yang lain, dipandang lebih mulia atau lebih segala-galanya, misalnya. Penat.

5. Kamu pengotor

Ini pun satu masalah. Pengotor. Ini boleh diperhatikan dalam banyak perkara sama ada pada pakaian dan penampilan, pada makan minumnya, pembuangan sampah atau sisa makanan selepas makan, cuci atau tidak tangan sebelum dan selepas makan, ataupun selepas keluar tandas. Tak sedikit buang air kecil tanpa membasuh alat kelaminnya. Tak pernah masuk tandas awam, tandas di pusat beli-belah, tandas hotel?

6. Kamu hanya tahu berkata-kata, tetapi tidak tahu melaksanakannya

Hal ini pun membuatkan orang menjauhi. Yang pandai berkata-kata ini selalunya pihak yang ingin mengambil kesempatan dan melepaskan dirinya daripada tanggungjawab, daripada dipersalah. Hari ini berkata lain, esoknya atau minggu berikutnya berkata yang lain pula. Ini banyak berlaku terutama membabitkan antara pentadbir dan rakyat. Bahkan dalam komuniti pekerja pun berlaku, misalnya seorang penyelaras kursus berkata: “Apabila kamu mengikuti kursus ini, kamu akan mendapat kredit dalam penilaian pencapaian akhir tahun.” Namun tiba waktu akhir tahun, pekerja yang mengikuti kursus terbabit mendapati tiada pun kredit seperti dicakapkan beberapa bulan sebelumnya. Kan!   

7. Kamu hanya pandai berjanji, tapi tidak mengotakannya

Ini juga satu hal hampir sama dengan yang di atas. Janji tinggal janji. Hilang begitu saja. Terutama dalam kalangan orang politik. Waktu pilihan raya, oh macam-macam diberitahu, begini dan begitu…sehingga ramailah yang mengundinya. Habis pilihan raya, senyap je…lima tahun berlalu orang lupa, undi semula…hum!  

8. Kamu memeras yang lain

Hal ini jarang diperkatakan. Memeras boleh diertikan atau ditafsirkan dalam banyak konteks. Mengenakan denda pun dikira memeras. Misalnya, lambat bayar cukai, bil, dikenakan denda, penalti, fee atau apa-apa nama yang dijenamakan, dikira memeraslah tu. Jika tak setuju, kajilah dengan teliti, sama ada dari sudut pandang undang-undang, agama, moral dan sebagainya. Pakar kan ramai – takkan hari ke hari ke pejabat, hanya tahu buka tutup pintu je dan tunggu gaji bulan. Bukan laksana dan kenakan kepada rakyat terlebih dahulu, dan kaji kemudian. Jadi, jangan hairanlah apabila parti memerintah bertukar ganti. Tak kiralah di mana-mana pun….apabila wujud anasir memeras, selagi tidak diperbetulkan, maka selagi itulah parti memerintah bertukar ganti. Sebab…orang tak selesa…orang tertekan…orang benci.      

9. Kamu mementingkan diri sendiri

Kamu jika hanya mementingkan diri sendiri, tak ‘pandang’ orang lain, kamu dijauhi. Tiada siapa nak mendekati kamu, nak berkawan dengan kamu. Ya, sebab kamu fikir yang kamu saja nak makan sedap, tapi orang susah sekeliling kamu entah makan atau tidak, kamu tak peduli, contoh. Kamu berat tangan untuk membantu, bahkan sangat berkira untuk menghulurkan satu dolar misalnya kepada golongan miskin.

10. Kamu banyak cakap

Cakap tak henti-henti, macam bertih jagung atau macam murai tercabut ekor. Pernah jumpa orang macam ini. Ada, tapi tak ramai. Tapi kalau jumpa, kamu yang tidak banyak cakap akan berasa bermasalah, ataupun berasa menyesal…sepatah dibalas 10 patah olehnya, contoh.