Manusia selalunya akan berasa gembira apabila mengetahui ada orang suka kepadanya, lebih-lebih lagi orang itu sememangnya dinanti-nanti, lebih mulia dan berkedudukan.
Mengapa? Sebabnya, bukan semua orang suka kepada kita. Boleh jadi mereka yang suka hanyalah beberapa orang yang rapat dengan kita dan itu pun belum tentu. Kadangkala di depan semuanya manis, tetapi di belakang, pahit yang diluah.
Pada pandangan orang, kita barangkali digambarkan dengan watak negatif. Apa saja yang kita usahakan dipandang sebelah mata. Perkara biasa atau kesilapan kecil boleh dianggap sebagai masalah besar hanya disebabkan benci.
Begitulah secebis gambaran manusia dengan mainan dunia, tidak pernah habis daripada sifat dengki, buruk sangka dan sengketa. Segalanya dipandang sepi hanya disebabkan satu angkara yang kadangkala sengaja direka pihak berkepentingan.
Namun, adakah kita sedar bahawa masih ada yang suka kepada kita? Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang. Dia Yang Maha Agung, Maha Mulia lagi Maha Kaya sangat suka kepada kita yakni hamba-Nya yang melakukan kebaikan.
“Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran, maksud ayat 148)
Barangkali disebabkan malas, cuai dan jahil, kita selalu mengabaikan perintah-Nya dan melakukan apa yang dilarang oleh-Nya, tidak peduli hukum-hakam dan halal haram, tetapi apabila kita bertaubat, kita dikasihi oleh-Nya.
Firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang yang sentiasa menyucikan diri.” (Surah al- Baqarah, ayat 222)
Apakah kita tidak berasa cukup bertuah dan gembira dengan peluang mendapat kasih sayang seperti dinyatakan itu?
Tidakkah kasih sayang Allah itulah yang abadi buat kita menongkah perjalanan hidup ini?
Kalau begitu, kita usah beralasan lagi untuk kembali kepada-Nya.
Jangan suka bertangguh kerana waktu juga tidak pernah memahami erti belas kasihan, lebih-lebih lagi kepada kita insan biasa. Jelas sekali, jalan taubatlah satu-satunya cara mendapat kasih sayang Allah bagi kita yang sangat banyak dosa.
Namun, bagaimana untuk bertaubat?
Menurut Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhajul Abidin, kita perlu menyempurnakan 10 tindakan ini agar taubat kita tercapai iaitu:
1. Tidak lagi melakukan dosa berkenaan.
2. Tidak menceritakannya (perkara dosa itu) lagi.
3. Tidak lagi bergaul dengan orang yang melakukan dosa berkenaan.
4. Sanggup jika terpaksa mengasingkan diri, yakni berpindah ke tempat lain kerana di sana dapat benar-benar bertaubat daripada perbuatan dosa. Perkara yang sekiranya dapat menarik diri untuk berbuat seperti itu ditinggalkan sama sekali.
5. Tidak akan melihat atau menjejakkan kaki lagi ke tempat yang pernah melakukan dosa.
6. Benar-benar membenci tempat yang pernah menjerumuskan diri ke jurang nista.
7. Tidak mahu lagi mendengar perbincangan mereka mengenai perbuatan maksiat.
8. Bertaubat daripada keinginan hati. Inilah yang paling sukar kerana bererti hati sudah tertutup (daripada perbuatan dosa) sama sekali.
Jika ada dorongan untuk melakukannya, mampu untuk menahannya. Ini bermakna mendapat kemenangan dan inilah taubat yang paling sempurna.
9. Bertaubat daripada kelalaian dahulu kerana taubat yang pertama dirasakan kurang memenuhi syarat. Jika dalam taubat pertama tidak sepenuhnya kerana Allah, kini kembali bertaubat (sepenuhnya kerana Allah).
10. Taubat daripada kesombongan kerana dapat bertaubat. Hal ini kerana ada sesetengah orang berasa bangga dengan taubatnya dan mengagumi dirinya yang sudah bertaubat.
Ibarat pelukis yang mengagumi lukisannya atau mengagungkan hasil karyanya, dia terlalu bangga dengan taubatnya lalu berkata di dalam hati: “Alangkah sempurnanya taubat aku tempoh hari!”
Ini bermakna taubatnya tidak didasari kerana Allah. Oleh itu, dia terpaksa bertaubat lagi dengan mengesakan Allah Taala.