Sebuah bot yang membawa lebih 250 pendatang Rohingya dan Bangladesh dilaporkan karam di Laut Andaman selepas ia meninggalkan pantai Cox’s Bazar baru-baru ini untuk ke Malaysia, menurut berita Anadolu memetik seorang pegawai polis memberitahunya.
Laporan itu terbongkar selepas sebuah kapal Bangladesh menyelamatkan sembilan orang dari Lautan Hindi pada 9 April dan menyerahkan mereka kepada polis Bangladesh, Pegawai Bertanggungjawab di balai polis Teknaf, Saiful Islam, memberitahu Anadolu.
Walau bagaimanapun, dia tidak memberikan bilangan sebenar mereka yang berada di dalam bot itu, dengan mengatakan mereka “ramai”.
Daripada sembilan yang diselamatkan, enam orang didakwa sebagai penyeludup, dan mereka telah dihantar ke penjara, dia dipetik berkata.
Satu kes telah difailkan dengan Balai Polis Model Teknaf berhubung perkara itu.
Anadolu melaporkan, menurut kes pertuduhan, Rohingya dan Bangladesh diangkut secara haram ke Malaysia dengan sebuah bot, dan ia karam akibat cuaca buruk.
Rafiqul Islam, seorang mangsa Rohingya yang terselamat, dilapor memberitahu akhbar tempatan The Daily Star bahawa kira-kira 280 orang, termasuk 13 anak kapal dan penyeludup, berada di atas bot terbabit. Daripada jumlah itu, kira-kira 150 orang adalah Rohingya, manakala selebihnya adalah warga Bangladesh.
Rafiqul mendakwa bahawa 25 hingga 30 orang maut akibat sesak nafas dan kesesakan. Bot pukat tunda itu akhirnya terbalik selepas dilanggar ombak besar, katanya.
Terdahulu, Pengawal Pantai Bangladesh berkata sebuah kapal berbendera Bangladesh yang dalam perjalanan dari Chattogram ke Indonesia menyelamatkan sembilan orang dekat Kepulauan Andaman pada 9 April.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Selasa, Agensi Pelarian PBB (UNHCR) dan Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM) di Bangladesh menyatakan bahawa kejadian tragis itu mencerminkan akibat buruk daripada perpindahan yang berlarutan dan kekurangan penyelesaian jangka panjang untuk Rohingya.
“Kami segera menyeru masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan solidariti dan mengekalkan pembiayaan bagi menyokong bantuan menyelamatkan nyawa pelarian Rohingya di Bangladesh serta sokongan untuk komuniti tuan rumah Bangladesh,” desaknya.
Bangladesh menjadi tuan rumah kepada kira-kira 1.3 juta Rohingya, kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar pada Ogos 2017 dan tinggal di kem Cox’s Bazar yang terlalu sesak.
Sejak itu, tiada penghantaran pulang rasmi berlaku disebabkan oleh tentangan junta tentera Myanmar, menyebabkan komuniti Rohingya di Bangladesh sangat kecewa, lapor Anadolu, ini juga telah memaksa mereka untuk memulakan pelayaran laut yang berbahaya bagi menamatkan kehidupan pelarian mereka.