Seorang rakyat Palestin diletakkan tentera Israel pada jip tentera semasa serbuan di Jenin, dalam tangkapan skrin daripada video, di Tebing Barat yang diduduki Israel, 22 Jun 2024. REUTERS
Laporan berita antara lain menyatakan, jurucakap keselamatan negara Rumah Putih John Kirby berkata Amerika Syarikat “bingung” dengan dakwaan Netanyahu.
Setiausaha akhbar White House Karine Jean-Pierre berkata, “Kami secara amnya tidak tahu apa yang dia cakapkan.”
Pernyataan ringkas itu dipetik dan diterjemahkan daripada laporan AP 23 Jun 2024, bertajuk “Netanyahu sekali lagi dakwa AS tahan penghantaran senjata, beberapa hari selepas Washington menafikannya”, yang jelas menunjukkan orang-orang sekeliling Benjamin Netanyahu juga bingung dengan tingkah laku perdana menteri Israel itu.
Jika sekutu terdekatnya memberikan reaksi sedemikian, apatah lagi dengan yang lain, yang sudah lama tidak setuju dan marah terhadap hukuman kolektif dilakukan Netanyahu terhadap penduduk Palestin.
Ya, hukuman kolektif, iaitu melakukan tindakan menghukum secara menyeluruh, maksudnya orang yang tidak bersalah, tidak tahu apa-apa pun seperti bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua turut menerima hukuman, iaitu korban perang.
Laporan agensi berita Palestin WAFA 23 Jun 2024, menyatakan pihak berkuasa kesihatan tempatan mengesahkan jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan Israel sejak 7 Oktober telah meningkat kepada 37,598 kematian yang dilaporkan, dengan tambahan 86,032 individu mengalami kecederaan. Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak.
Angka kematian penduduk Palestin makin meningkat – dari hari ke hari… gara-gara pihak bersenjata Israel yang zalim, yang bodoh dan bingung.
Hari ini sesetengah rakyat Palestin mungkin menarik nafas lega, dapat berkata-kata seperti kita, memasak dan menjaga anak-anak, entah esok atau lusa, bagaimana pula nasib mereka…adakah masih bernafas? Adakah mereka masih hidup seperti kita? Ataukah kaku terperosok di bawah timbunan simen dan batu?
Jangan tanya kepada Netanyahu, kerana tindakannya membingungkan.
Bingung dan membingungkan adalah kata sifat, hal…iaitu menerangkan sesuatu. Maka, individu yang mempunyai sifat itu, digelar sebagai apa? Orang bingung kan. Dalam masyarakat Nusantara, istilah ini dipandang sangat teruk. Malah di sesetengah tempat, istilah ini dijadikan suatu sumpahan atau cercaan sebagai melepaskan geram yang teramat.
Badan dunia, tidak lain dan tidak bukan, PPB jelas tidak mempunyai taring. Mengapa…adakah kerana perang ini yang menjadi mangsanya ialah orang Islam? Jika orang Kristian misalnya, maka tindakannya lebih tangkas? Jika begitu, pamerkan “pertubuhan bangsa-bangsa kristian dunia”, misalnya — Ini juga membingungkan…seolah-olah tiada guna ada badan dunia. Cakap saja…tak habis dengan cakap, kritik, kutuk…tak ke mana-mana…sungguh mengecewakan. Maka, tulisan ini juga terhenti di sini. Huh!