Pasukan peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan kenyataan berhubung pendakwaan lima remaja berkaitan perbuatan buli di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, hari ini, lapor BH Online.
Peguam Hamid Ismail, dilaporkan berkata kenyataan AGC perlu berikutan adanya perintah larangan yang dikeluarkan mahkamah bagi menghalang sebarang maklumat dalam prosiding berkenaan didedahkan kepada umum.
Dia dilaporkan berkata, pihaknya juga tidak boleh berkongsi apa yang berlaku dalam mahkamah berikutan larangan berkenaan bagi mengelak ‘contempt of court’.
Dia menjelaskan larangan itu bukan untuk menyembunyikan sesuatu atau melindungi orang kenamaan (VIP), sebaliknya disebabkan peruntukan undang-undang.
“Banyak perkara yang tidak boleh didedahkan mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, apa saja tidak boleh didedahkan termasuk sepanjang siasatan atau prosiding di mahkamah.
“Ia bukan sebab VIP atau ada perkara yang disembunyikan, ia disebabkan undang-undang yang melarang.
“Jadi kita berharap pihak AGC dapat memberikan kenyataan berhubung perkara ini,” dia dipetik berkata ketika ditemui media di luar mahkamah.
Hamid turut meminta maaf kerana tidak boleh mendedahkan apa-apa yang berlaku dalam prosiding mahkamah hari ini.
“Kami tidak boleh bercakap apa yang berlaku di dalam kerana ada perintah ‘gag’. Jadi, kami mohon maaf.
“Kalau perkara lain, kami boleh jawab, tapi untuk yang prosedur hari ini, kami tidak dibenarkan. Kerana wujudnya Seksyen 15 dan juga ada perintah ‘gag’,” katanya seperti dilaporkan.



