Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Selasa untuk 10 orang yang masih hilang selepas sebuah feri terbalik di luar wilayah selatan Filipina, dengan jumlah kematian dilaporkan meningkat sedikit kepada 18 orang.
Menurut laporan Reuters, Kapten Noemie Cayabyab, jurucakap di Pengawal Pantai Filipina (PCG), berkata jumlah orang di atas kapal itu telah disemak semula kepada 344, menurun daripada angka sebelumnya iaitu 359, selepas mengesahkan 15 orang yang disenaraikan dalam manifes tidak menaiki kapal terbabit.
Jumlah penumpang yang diselamatkan kekal pada 316 orang, kata Cayabyab kepada pemberita.
Kemalangan itu dilaporkan berlaku pada jam 1:50 pagi (1750 GMT) pada Isnin semasa kapal penumpang, MV Trisha Kerstin 3, sedang dalam perjalanan ke Jolo di wilayah Sulu selepas berlepas dari Zamboanga.
PCG dilapor berkata, kapal itu mempunyai kapasiti penumpang yang dibenarkan sebanyak 352 orang.























