Pihak berkuasa Turki pada Isnin menahan lapan individu, termasuk pengerusi kelab bola sepak Eyupspor, Murat Ozkaya, sebagai sebahagian daripada siasatan yang semakin meluas terhadap pertaruhan haram pada perlawanan bola sepak, lapor Xinhua.
Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) juga dilaporkan menggantung 1,024 pemain di semua peringkat profesional sementara menunggu semakan disiplin.
Penahanan itu dilaporkan susulan operasi yang lebih luas yang diselaraskan oleh Bahagian Jenayah Siber Istanbul dan Pejabat Pendakwa Raya.
Xinhua melaporkan, menurut penyiar TRT yang dikendalikan oleh kerajaan, suspek, termasuk pegawai kelab dan pengadil, dirujuk ke mahkamah susulan siasatan yang diselaraskan.
Dilaporkan, polis menjalankan operasi serentak di 13 wilayah, termasuk Ankara, Antalya, Bolu, Diyarbakir, Istanbul, Izmir dan Trabzon.
Seramai 21 orang pada mulanya ditahan selepas pengawasan dan pemantauan teknikal.
TFF dilapor berkata pada Isnin, 1,024 pemain dari pelbagai liga telah dirujuk kepada Majlis Disiplin Bola Sepak Profesional kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan.
Semua mereka telah digantung sementara siasatan diteruskan, lapor Xinhua.
“Berkaitan dengan siasatan pertaruhan, 1,024 pemain telah dirujuk sementara kepada Majlis Disiplin Bola Sepak Profesional,” TFF dilapor berkata dalam satu kenyataan.
Langkah-langkah menyeluruh itu diambil beberapa minggu selepas TFF menggantung 149 pengadil dan penolong pengadil susulan dakwaan bahawa pegawai telah bertaruh pada perlawanan yang mereka adili, satu pelanggaran langsung terhadap peraturan integriti bola sepak.

















