Tunisia berkata pada Rabu “serangan” ke atas sebuah kapal di pelabuhan Sidi Bou Said “dirancang”, selepas Flotilla Sumud Global (GSF), yang bersiap untuk menghantar bantuan ke Gaza, melaporkan salah satu botnya diserang oleh dron dalam serangan kedua seumpama itu dalam dua hari, lapor Reuters.
GSF dilaporkan bersedia untuk belayar ke Gaza dalam usaha untuk memecahkan sekatan tentera laut Israel, berikutan dua malam serangan dron ke atas kapal utama dalam konvoi itu yang disifatkan penganjur sebagai percubaan disengajakan oleh Israel untuk mengganggu misi itu.
Tentera Israel tidak menjawab permintaan untuk komen, menurut Reuters.
Tiada kecederaan, dan pihak berkuasa perlindungan awam berjaya mengawal kebakaran di atas bot itu pada malam Rabu.
Kementerian Dalam Negeri Tunisia, yang tidak menuduh mana-mana pihak atau negara, dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap serangan dron itu.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Francesca Albanese, dilaporkan memberitahu Reuters pada Selasa “ia adalah serangan terhadap kedaulatan Tunisia.”
Terdahulu pada Rabu, beribu-ribu rakyat Tunisia dilaporkan berkumpul di pantai indah Sidi Bou Said untuk menyokong aktivis pro-Palestin di atas bot, salah satu flotila terbesar yang belum belayar ke Gaza.
Flotila itu, yang merangkumi ratusan aktivis dan berpuluh-puluh bot, disokong oleh delegasi dari 44 negara, termasuk aktivis Sweden Greta Thunberg dan ahli politik sayap kiri Portugis Mariana Mortagua.



