PUTRAJAYA – Bekas pegawai penyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi, hari ini, beliau tidak mengesyorkan pendakwaan dibuat terhadap beberapa pegawai kanan syarikat pelaburan strategik negara itu.
Bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Korporat (CCID), Senior Assistan Komisioner (SAC) R Rajagopal berkata, beliau tidak mengesyorkan pendakwaan terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abdul Rahman dan bekas Ketua Pegawai Kewangan, Azmi Tahir serta Radhi Mohamad.
Rajagopal yang memberikan keterangan selaku saksi pembelaan ke-11 ketika menjawab soalan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata sehubungan itu pendakwa raya tidak meneruskan untuk memfailkan pertuduhan terhadap individu berkenaan.
Bagaimanapun, saksi itu berkata, siasatan skandal kewangan 1MDB itu masih diteruskan sehingga hari ini, walaupun selepas beliau bersara pada 2023, yang mana polis masih menunggu untuk mendapatkan beberapa dokumen dari luar negara bagi tujuan siasatan.
Beliau berkata, pertuduhan juga difailkan terhadap beberapa individu yang tidak ditemui selepas 2018, bagi tujuan mendapatkan waran tangkap supaya pihaknya boleh memohon notis merah Interpol.
Antara mereka yang didakwa in-absentia (tanpa kehadiran) ialah ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low; sekutunya Eric Tan Kim Loong; bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Tang Keng Chee dan bekas pegawai 1MDB, Terrence Geh Choh Heng.
Bagaimanapun Ai Swan yang melarikan diri ke luar negara, menyerah diri dan kembali ke tanah air dua tahun lalu serta memberikan keterangan pada perbicaraan kes selaku saksi pendakwaan.
Ketika membela diri pada Disember tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan kerugian AS$1 bilion dialami syarikat 1MDB melalui usaha sama dengan PetroSaudi International Limited (PSI) disebabkan olehnya.
Najib berkata, kerugian itu tidak boleh dikaitkan dengan dirinya, sebaliknya tanggungjawab itu terletak pada pihak pengurusan, khususnya Shahrol Azral.
Beliau berkata, Shahrol Azral tidak sabar untuk menandatangani perjanjian usaha sama yang merugikan sedangkan ia sepatutnya memberikan amaran (terhadap sebarang tanda penipuan).
Katanya, jika beliau bukan bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, beliau benar-benar percaya Shahrol Azral tidak akan berada di kandang saksi (sebagai saksi pendakwaan) tetapi kandang tertuduh.
Sementara itu, Rajagopal berkata, polis masih belum merekodkan kenyataan Najib dan Jho Low, serta perlu mengambil keterangan lanjut daripada Choh Heng dan Keng Chee (dipercayai berada di luar negara).
Najib membela diri terhadap empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah di Istana Kehakiman bersambung esok.
BH ONLINE