KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen mengesahkan tiada sebarang rekod pergerakan keluar dari negara ini membabitkan remaja warga United Kingdom (UK), David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang sejak 7 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata semakan pihaknya mendapati tiada rekod keluar membabitkan remaja itu selain rekod kemasukannya ke negara ini pada 6 Jun lalu.
“Setakat ini, semakan lanjut mendapati tiada rekod remaja itu telah keluar dari negara ini dikesan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, Zakaria memaklumkan semakan pihaknya mendapati David masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Jun lalu, pada jam 8.29 pagi.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus, berkata usaha mengesan keberadaan remaja itu sedang giat dilakukan.
“Sekiranya terdapat petunjuk, kita (polis) akan maklumkan kemudian,” katanya.
Semalam, polis mengesahkan remaja itu ada menghubungi ibunya menerusi hantaran e-mel pada 9 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, dilaporkan berkata pihaknya sudah memeriksa kandungan e-mel berkenaan yang antara lain meminta keluarganya di UK supaya tidak bimbang.
Antara kandungan e-mel itu termasuk permintaan supaya keluarga tidak mencarinya serta doa agar kesemua ahli keluarga berjaya dalam kehidupan.
Remaja itu juga memohon maaf kerana melakukan perkara itu tanpa menyatakan bila dia akan pulang ke pangkuan keluarganya.
David dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu dan dikesan menaiki bas ke Stesen Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).
Pelajar sains komputer di Universiti Manchester sebelum ini dilaporkan secara senyap-senyap menaiki penerbangan sehala dari Manchester ke Kuala Lumpur.
Dia juga didapati mematikan telefon bimbit serta tidak membalas emel sejurus tiba di Malaysia pada 6 Jun lalu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di talian 017-736 9187 atau mana-mana balai polis berhampiran.
BH ONLINE



