Tentera Thai berkata tiga askar Thai cedera dalam letupan periuk api pada pagi Sabtu semasa operasi rondaan di sepanjang sempadan Thai-Kemboja. Bagaimanapun, Kemboja menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan Thai itu, lapor Xinhua.
Menurut Wilayah Tentera Kedua Thailand, letupan berlaku kira-kira jam 10 pagi waktu tempatan, ketika tentera Thai melakukan rondaan dan memasang kawat berduri bagi mengukuhkan keselamatan sempadan di Wilayah Sisaket.
Jurucakap tentera Thailand Winthai Suvaree dipetik berkata, insiden itu jelas menunjukkan penggunaan senjata yang berterusan dan tersembunyi di sepanjang sempadan oleh pihak Kemboja, yang jelas melanggar Konvensyen Pengharaman Periuk Api Anti-Kakitangan, atau Konvensyen Ottawa.
“Tindakan sedemikian menimbulkan halangan besar untuk melaksanakan langkah gencatan senjata dan menyelesaikan konflik melalui cara aman dan mengukuhkan lagi bukti bahawa Kemboja secara konsisten memulakan penggunaan senjata terlebih dahulu,” Winthai dipetik berkata dalam satu kenyataan.
Pihak Berkuasa Tindakan Periuk Api dan Bantuan Mangsa Kemboja (CMAA) pada petang Sabtu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Thai bahawa Kemboja meletakkan periuk api baharu yang meletup dan mencederakan tiga askar Thai.
“Kedudukan Kemboja adalah jelas: Kami tidak, dan tidak akan, menanam periuk api baru,” CMAA dipetik berkata dalam kenyataan akhbar.
“Pada masa ini, tiada siasatan rasmi dan telus dijalankan berhubung insiden yang dilaporkan melibatkan tentera Thai yang cedera,” kenyataan akhbar itu dipetik.
“Dengan ketiadaan fakta yang disahkan, adalah penting untuk semua pihak mengekang kenyataan awam. Tuduhan yang tidak berasas bukan sahaja berisiko menjejaskan semangat kerjasama yang diwujudkan di bawah gencatan senjata tetapi juga mengancam untuk menghakis kepercayaan pada saat penglibatan yang membina amat diperlukan,” tambahnya.



