GAZA, 21 Julai – Pihak berkuasa kesihatan Gaza berkata pada Isnin, seorang pegawai kanan telah ditahan oleh pasukan khas Israel yang menyamar dengan pakaian awam dekat sebuah hospital lapangan di selatan Gaza.
Dalam satu kenyataan akhbar, pihak berkuasa kesihatan berkata, Marwan Al-Hams, pengarah Hospital Abu Youssef Al-Najjar dan ketua operasi hospital lapangan Gaza, ditahan ketika dalam perjalanan ke hospital lapangan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) di bandar Rafah.
Menurut kenyataan itu, tentera Israel melepaskan tembakan ke arah ambulans yang mengangkut Al-Hams, membunuh seorang rakannya dan mencederakan dua yang lain, termasuk pemandunya. Wartawan Palestin, Tamer Al-Zaanin turut terbunuh dalam kejadian itu.
Pejabat media kerajaan dikendalikan Hamas di Gaza mengutuk penculikan dan penggunaan kekerasan, menyifatkannya sebagai “satu pelanggaran berat terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Ia menyeru ICRC untuk “mengambil pendirian yang jelas dan tegas” mengenai perkara itu.
“Menyasarkan kakitangan perubatan semasa melaksanakan tugas kemanusiaan mereka merupakan pelanggaran terang-terangan Konvensyen Geneva,” kata pejabat media Gaza, menggesa masyarakat antarabangsa campur tangan dan memastikan perlindungan sektor penjagaan kesihatan Gaza.
Tiada komen segera daripada tentera Israel berhubung insiden itu.
Penahanan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak di selatan Gaza, di mana tentera Israel sering melakukan operasi ketenteraan, menyebabkan kebimbangan yang semakin meningkat daripada organisasi antarabangsa terhadap keselamatan kakitangan kemanusiaan dan perubatan.
XINHUA



